Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kehadiran jemaah di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan mengikut kapasiti sebenar premis dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain, berkuatkuasa esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, keputusan itu mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ia adalah selaras dengan perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Tazkirah Sebelum Solat Jumaat, Tadarus Al-Quran, Kuliah Muslimat, Bacaan Yasin, Tahlil, Program Zikir Munajat dan Doa tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP dan memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir. – MalaysiaGazette