Zainal Abidin Hassan (kanan).

KUALA LUMPUR – Kemenangan 3-1 Melaka United FC ke atas finalis 2019, Kedah Darul Aman FC dalam Kumpulan C menjadi kejutan terbaharu pada pentas TM Piala Malaysia 2021.

Biar pun ketinggalan seawal minit ketujuh melalui jaringan Kpah Sherman, nyata persembahan Melaka United berada dalam kelas berlainan di pentas TM Piala Malaysia apabila bangkit meledak tiga jaringan, dua daripadanya menerusi Manuel Ott pada minit 38 dan 52 selain satu lagi jaringan oleh Sony Norde pada minit 23.

Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan, menjadi orang paling gembira di sebalik kemenangan sambil merasakan pemain-pemainnya semakin mempamerkan peningkatan sejak permulaan kempen TM Piala Malaysia.

“Kami membuat kerja rumah selepas 22 perlawanan Liga Super dan menganalisa kembali masalah pasukan terhadap apa jua sebarang kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan setiap pemain.

“Saya berasa bersyukur kerana persiapan dua minggu sebelum TM Piala Malaysia ini, dapat membuktikan banyak perbezaan kepada Melaka United setakat ini dan harap situasi ini dapat berterusan.

“Disiplin mereka meningkat terutama di aspek bertahan kerana sebelum ini kami sering melepaskan gol-gol yang terlalu mudah dan nampaknya mereka telah mempelajari daripada kesilapan-kesilapan serta menunjukkan semangat pasukan yang begitu baik.

“Dua kemenangan ini cukup penting kerana akan berikan keyakinan serta semangat yang tinggi kepada pemain namun saya tidak katakan Melaka United sudah selamat untuk ke suku akhir kerana masih ada empat perlawanan lagi dalam peringkat kumpulan, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia.

Kemenangan ini juga yang pertama buat Melaka United ke atas Kedah sejak 2019 dengan mereka tewas dalam empat pertembungan terakhir termasuk dua aksi Liga Super, musim ini.

Melaka United kini selesa di tangga teratas dengan enam mata sambil diikuti Kedah, tiga mata manakala Kelantan United FC dan Negeri Sembilan F ,yang masih tanpa sebarang mata hanya akan turun bermain malam ini.

Di Kumpulan D, jaringan tunggal Gonzalo Cabrera pada minit ketiga sudah cukup buat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus untuk terus kekal di tangga teratas dengan enam mata.

Ternyata kekentalan benteng JDT sukar digugat apabila PJ City FC gagal melancarkan sebarang gerakan berbahaya sepanjang perlawanan selain tuan rumah juga terlepas beberapa peluang keemasan bagi menjaringkan gol melalui Safawi Rasid serta Guiherme de Paula.

Sementara itu, Kelantan FC dan Sabah FC terikat 2-2 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dengan pasukan pelawat berjaya memperolehi dua sepakan penalti yang disempurnakan ketua pasukan, Risto Mitrevski manakala gol Kelantan disumbangkan Natanael Siringo Ringo dan Haziq Subri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast