Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO telah memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datangn.

Keputusan itu dinyatakan presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi petang tadi yang mana ia bukan sekadar sebuah ketetapan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti tetapi lahir daripada suara peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Tegas beliau, UMNO juga mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 dan berdiri teguh memperkasa Barisan Nasional (BN).

“Keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang telah dimuktamadkan.

“Ia bukan sekadar sebuah ketetapan oleh MT tetapi lahir daripada suara peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020,” katanya dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

Kesimpulannya, kata Ahmad Zahid, semua ketetapan PAU 2020 itu berfokuskan kepada PRU-15 yang akan diadakan sejurus pandemik Covid-19 dapat ditangani.

PRU-15, kata beliau, sangat penting bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat demi mewujudkan kestabilan politik yang kukuh di negara ini.

Berhubung pembentukan kerajaan Keluarga Malaysia sejurus kerajaan PN tumbang Ogos lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia adalah bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan.

“Kelangsungan pentadbiran sebuah kerajaan yang cuma bersifat sementara sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15.

“Kerajaan sementara ini ditubuhkan dengan pertimbangan suasana politik yang masih tidak stabil, sedangkan rakyat diancam pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau menyatakan UMNO perlu mengutamakan rakyat pada setiap masa, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

Malah, katanya, begitu juga menjunjung kasih titah Raja-Raja Pemerintah.

“Insya-Allah, kita yakin UMNO dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU-15.

“Kepada Allah kita berserah demi sebuah perjuangan untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette