Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato Lokman Adam hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan yang dibuat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi kes posting video oleh Facebook atas akaun bernama Lokman Adam di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan dua pertuduhannya  di Mahkamah Siber di sini sebagai satu lagi pertuduhan terpilih kepada penyokong UMNO.

Beliau mendakwa, pertuduhan yang dihadapinya hari ini dilakukan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang dilantik ketika pentadbiran Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa yang saya alami hari ini saya anggap adalah sebahagian daripada pendakwaan terpilih ke atas orang UMNO oleh Peguam Negara yang dilantik ketika zaman Muhyiddin.

“Sedangkan kes melibatkan Azmin Ali, Xavier Jayakumar, Mas Ermiyati, Mustafa Mohamad, Zeti Akhtar Aziz, Taufik Aiman, Aziz Taufik dan ramai lagi pimpinan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)  langsung tiada sebarang pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lokman mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook berhubung kemasukan warga India menyebar virus Covid-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Lokman, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim, M. M Edwin Paramjothy.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Lokman didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, menyebarkan berita tidak benar menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil ‘Lokman Adam’.

Dalam pada itu, Lokman juga berkata, sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melucutkan jawatan Peguam Negara dan Ketua Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Perdana Menteri perlu mempertimbangkan semasak-masaknya agar Tan Sri Idrus dan manusia seperti Sabin, CEO LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) yang menggunakan kedudukan mereka untuk mendera orang UMNO dilepaskan daripada jawatan,” katanya.

Lokman berkata, dua pertuduhan yang dibuat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu akan melemahkan semangatnya untuk membela rakyat Malaysia.

“Apapun tindakan yang saya terima, ianya tidak sedikit pun akan melemahkan semangat saya untuk membela nasib rakyat. Saya tetap akan berjuang menegakkan yang hak dan menentang yang batil,” katanya yang baru sahaja diterima semula sebagai ahli UMNO baru-baru ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lokman Adam mengaku tidak bersalah sebar berita palsu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast