Lokman Adam mengangkat tangan ketika menuju masuk ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual di media sosial.

Lokman selaku orang kena saman (OKS) kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan hakim MM Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 3 Mei pukul 10.55 malam, OKS melayari aplikasi Facebook menggunakan profil akaun Lokman Adam dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar berhubung kemasukan warga India penyebab penyebaran virus Covid-19.

Tulisan itu kemudian dilihat pada 9 Mei pukul 4.40 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

Manakala pertuduhan kedua pula pada 9 April lepas sekitar jam 10.38 malam, tertuduh telah menggunakan aplikasi Facebook sama dengan nama ‘Lokman Adam’ mengundang kebimbangan umum dengan menyebarkan berita tidak benar seorang pegawai polis di Pahang yang meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin Covid-19.

Bagimanapun anggota itu meninggal dunia bukan berpunca daripada vaksin sebaliknya  serangan jantung.

Hantaran itu pula dilihat pada 11 April pukul 8.55 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

Atas kedua-dua pertuduhan itu, Lokman didakwa di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Untuk makluman, bagi satu kesalahan kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding pagi ini, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kalmizah Salleh telah mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, pihaknya juga meminta tertuduh untuk menyerahkan pasport kerana Lembah Klang yang sudah berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Namun peguam mewakili Lokman tampil bangkit merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana OKS tidak bekerja dan perlu menanggung 11 orang anaknya.

Logen berkata, Lokman ketika ini hanya membantu isterinya menjual sate bagi menyara kehidupan.

“Anak guam saya tidak bekerja dan perlu menyara 11 orang anak termasuk lapan daripadanya sedang belajar ketika ini.

“Beliau hanya bantu isteri jual sate. Malah cadangan pendakwaan tentang keperluan untuk mahkamah menyimpan sebenarnya tidak perlu kerana sempadan masih lagi di tutup dan tidak tahu bila sebenarnya akan dibuka,” hujahnya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000 setiap pertuduhan dan 25 November untuk tarikh sebutan kes seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast