KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd, China dan Pharmaniaga LifeSciences Sdn. Bhd. Malaysia kepada golongan berusia 12 tahun dan ke atas.
CoronaVac sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada bulan Jun 2021.
Walau bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.
”Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini.
KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif.
Tambah beliau, KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD. – MalaysiaGazette
,