Azalina dilantik Penasihat Khas PM.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkuatkuasa Khamis lepas.

Azalina dalam satu hantaran Facebook hari ini mengesahkan lantikan tersebut.

Ahli Parlimen Pengerang itu juga melahirkan penghargaan dengan lantikan itu dan mengucapkan terima kepada Ismail Sabri.

“Insyaallah-Allah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara,” katanya.

Azalina sebelum ini meletakkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada 23 Ogos lalu.

Ia selang seminggu setelah Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan ada spekulasi bahawa beliau akan dilantik sebagai menteri kabinet oleh Ismail Sabri.

Namun ketika itu Azalina tidak disenaraikan dalam barisan kabinet.

Azalina juga antara yang popular dalam kalangan pimpinan pembangkang kerana mendapat sokongan daripada pembangkang yang menyarankan dia dimasukkan ke kabinet, khususnya bagi mengelola hal ehwal wanita serta kanak-kanak.- MalaysiaGazette