Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika wawancara khas bersama editor kanan media di Menara Parlimen baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 memberi banyak pengajaran kepada semua dan rakyat kelihatan lebih bersatu serta berdisiplin dalam menghadapi musuh yang sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dari segi ekonomi, ramai yang dahulunya berniaga secara tradisional termasuk orang kampung telah beralih kepada kaedah terkini, secara dalam talian yang semakin popular sekarang.

“Pandemik ini kita dapat mendisplinkan ramai kerana amat sukar untuk menyekat orang daripada keluar dari rumah berbulan-bulan, namun disebabkan COVID-19, ia boleh dilakukan,” katanya semasa sesi wawancara khas bersama editor kanan media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata ketika ini tidak ada orang yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan lambat laun amalan ini akan menjadi satu budaya baharu bagi ramai dalam penjagaan kesihatan diri.

“Bila berjalan-jalan sebagai contoh, jika ada yang tidak memakai pelitup muka kita akan tegur supaya dia pakai … mungkin kerana kita ambil berat tentang dia atau kerana kita mahu elak daripada jangkitan. Kita menjadi lebih prihatin” katanya.

Disebabkan perancangan teliti kerajaan, Ismail Sabri menjangkakan menjelang Disember semua sektor dapat dibuka semula dan rakyat kembali gembira dengan kes penularan COVID-19 serta angka kematian akibat virus itu terus menurun.

“Siapa sangka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang dahulu kita tidak tahu bila boleh dibuka semula kini di fasa pemulihan ketiga. Lembah Klang inilah nadi ekonomi, 70 peratus tertumpu di sini dan sekarang sudah dibuka dan ini lah perasaan gembira yang dirasai semua,” katanya.

Beliau berkata keputusan untuk membenarkan rentas negeri semula apabila tahap vaksinasi golongan dewasa mencapai 90 peratus amat mengembirakan semua kerana ramai yang sudah tidak pulang ke kampung untuk menziarahi keluarga. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast