Home Nasional Polis tahan 12 lelaki merusuh guna botol arak

Polis tahan 12 lelaki merusuh guna botol arak

GEORGE TOWN – Pertengkaran mulut dua kumpulan lelaki berakhir dengan insiden rusuhan di Lebuh Farquhar di sini Khamis lalu.

Bagaimanapun, kesemua 12 suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang terlibat dalam pergaduhan itu berjaya ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan bermula hari kejadian sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.30 malam daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan di kawasan tersebut.

Saravanan.

Kata beliau, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menahan tiga lelaki di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, kita menahan lima lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu di kawasan Geoge Town pada pukul 3 pagi semalam.

“Susulan itu, pada pukul 8 malam kita menahan empat lagi suspek di sekitar pusat bandar. Secara keseluruhan 12 lelaki ditahan membabitkan kes ini.

“Hasil semakan mendapati, tiga daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tangkap layar menunjukkan dua kumpulan individu merusuh di kawasan Lebuh Farquhar, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara dua kumpulan berkenaan selepas meminum arak kemudiannya merusuh menggunakan botol minuman itu.

“Akibat pergaduhan tersebut, lima lelaki mengalami kecederaan ringan pada kepala dan badan dan mereka antara yang ditahan polis.

“Tiada senjata ditemui di tempat kejadian dan tiada kerosakan dikenal pasti ke atas harta benda persendirian mahupun milik kerajaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka bebas daripada pengaruh dadah dan tiada laporan polis diterima daripada orang awam berhubung insiden tersebut,” kata beliau.

Tambah Saravanan, kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular dua rakaman video berdurasi satu minit 36 saat yang menunjukkan orang ramai berhimpun melihat pergaduhan antara beberapa individu di berhampiran sebuah hotel dan pusat hiburan di Lebuh Farquhar.

Berdasarkan rakaman video itu, beberapa lelaki dilihat bergaduh sesama sendiri sehingga ke jalan raya. – MalaysiaGazette