Datuk Seri Zolkples Embong. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ditemukan meninggal dunia seorang diri di ruang tamu kediamannya di Jalan Pandan Indah 1/11A, Pandan Indah, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak menerusi satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut selepas menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan bekas pembantu peribadi kepada Allahyarham pada pukul 8.31 pagi.

Menurut beliau, pihak polis memecahkan pintu rumah Allahyarham sekitar pukul 10 pagi selepas menerima laporan.

“Pengadu menyatakan bekas majikan beliau iaitu bekas Pengarah MSN telah gagal dihubungi sejak dari malam semalam.

“Allahyarham tinggal seorang diri di rumah dan tidak pernah berkahwin.

“Waris yang terdekat membuat laporan merupakan anak saudara kepada Allahyarham,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, keluarga waris memaklumkan bahawa Allahyarham pernah menjalani pembedahan jantung kira-kira 10 tahun yang lalu dan tidak pernah membuat sebarang rawatan susulan selepas itu.

Tambah Mohamad Farouk lagi, kali terakhir Allahyarham menjalani saringan swab test Covid-19 pada Jumaat lalu dengan keputusan negatif.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dan pada tubuh badan tidak menjumpai sebarang unsur jenayah selain tiada sebarang kesan pecah masuk atau pergelutan,” ujarnya.

Jelas beliau, Allahyarham akan dibawa ke Masjid Sri Petaling bagi pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Kampung Sura, Dungun, Terengganu.

Katanya, punca sebenar masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette