Pengarah MCMC Sabah dan Labuan, Izani Othman (dua dari kanan) berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah (tengah) bagi mendapatkan gambaran keadaan terkini ketiga-tiga pelajar yang terjatuh ketika cuba mendapatkan capaian Internet. Foto SKMM

KUALA LUMPUR – Liputan capaian Internet di Sabah dan Sarawak akan mencapai tahap 100 peratus dalam tempoh dua tahun menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pedana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi pelan itu,  kerajaan berbelanja RM7.7 bilion, iaitu RM3.16 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak.

Beliau percaya ramai masyarakat luar bandar dan bandar boleh terlibat dengan teknologi digital sekiranya infra itu telah disempurnakan.

“Capaian Internet ini perlu meliputi semuanya. Kita pernah dengar di Sabah, ada pelajar terpaksa panjat pokok untuk mendapatkan liputran  Internet. Ada di jambatan gantung, yang kita difahamkan ada yang jatuh dalam sungai dan sebagainya.

“Saya tidak mahu lagi (perkara ini berlaku). Di bawah program Jendela, kita akan berbelanja RM7.7 bilion, kepada Sabah dan Sarawak.

“Jadi, dalam masa dua tahun, kita akan pastikan 100 peratus liputan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam wawancara khas yang disiarkan secara langsung, sebentar.

Perdana Menteri mahu jurang digital perlu ditangani terutama di kawasan luar bandar bagi memastikan negara mencapai status maju.

Bagi memastikan jurang digital itu dapat ditangani, penyediaan infrastruktur perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Dan kalau lihat di luar bandar pun kita mempunyai pusat Internet. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ada Internet desa, ada pusat internet bawah Jabatan Penerangan ketika itu.

“Tetapi kita lihat, dari segi apa yang dilaksanakan di situ tidak menampakkan kejayaan. Mungkin kerana ketika itu fokus lebih kepada latihan, penggunaan komputer dan sebagainya,” tambahnya. – MalaysiaGazette