Dr Ismuni Bohari. foto Bernama

LABUAN – Labuan telah merekodkan sifar kematian akibat COVID-19 untuk tempoh 60 hari berturut-turut susulan peningkatan aktiviti vaksinasi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, bagaimanapun, penduduk setempat masih perlu hidup bersama virus berbahaya itu.

“Melihatkan trend kes sejak dua bulan lepas, Wilayah Persekutuan ini menyaksikan penurunan ketara bagi kes COVID-19 yang serius susulan langkah meningkatkan aktiviti vaksinasi.

“Labuan dilihat hampir berjaya menghapuskan COVID-19, dengan mencatatkan sifar kes sekali lagi hari ini dan sifar kematian untuk tempoh 60 hari. Bagaimanapun, kita tidak pasti berapa lama kejayaan ini mampu bertahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berkata, kemunculan varian Delta telah mengakibatkan lonjakan kes harian dengan jumlah kematian yang tinggi sehingga membawa kepada pembinaan hospital medan.

“Kemunculan varian Delta adalah pengajaran agar kita sentiasa bersedia dalam mendepani situasi terburuk dan keperluan menjaga pintu masuk ke negara kita bagi mengelak kemungkinan berlaku penyebaran COVID-19 yang berpunca daripada pengunjung,” katanya.

Ismuni juga berkata, suntikan dos kedua vaksin bagi pelajar (16 dan 17 tahun) telah bermula pada Jumaat lepas menjelang pembukaan semula sekolah esok.

“Setakat hari ini, lebih 82 peratus pelajar berumur lingkungan 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.

Beliau berkata, Labuan sudah mencapai kadar vaksinasi lengkap 100 peratus bagi populasi dewasa sejak awal bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Rithuan Ismail berkata pada peringkat awal, pihaknya ingin mengekalkan ‘sifar COVID’ dengan menghalang kemasukan pelawat luar, mengesan setiap jangkitan dan menutup sempadan pulau itu selepas berlaku penularan.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah itu dilihat tidak sesuai dan boleh memudaratkan kehidupan serta kesihatan mental penduduk.

“Kita perlu seimbangkan ekonomi dengan kesejahteraan dan kesihatan rakyat. Kami harap orang ramai akan terus mematuhi prosedur operasi standard dalam aktiviti harian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette