Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti ini hanya merujuk kepada penjualan saham dan/atau syarikat oleh agensi mandat Bumiputera sahaja.

Agensi mandat Bumiputera ini terdiri daripada institusi kepentingan Bumiputera (termasuk Permodalan Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Haji) dan Agensi amanah Bumiputera (termasuk MARA, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan EKUINAS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menjelaskan perkara itu berkata, cadangan penjualan ini tidak melibatkan saham dan/atau syarikat yang akan dijual oleh individu Bumiputera, bukan Bumiputera atau syarikat asing.

Sebaliknya, pengumuman ini hanya melibatkan penjualan saham dan/atau syarikat Bumiputera oleh agensi mandat Bumiputera sahaja.

Di bawah kerangka jaringan keselamatan ekuiti, penjualan ini akan ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang berkelayakan.

Katanya, pada tahun 2019, pemilikan Bumiputera dalam ekuiti korporat berasaskan nilai pasaran hanya 17.2 peratus. Pengumuman ini dibuat untuk memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan Bumiputera dan tidak terhakis.

”Cadangan ini tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain. Selain daripada kerangka jaringan keselamatan ekuiti ini, terdapat beberapa perundangan dan peraturan kawal selia pemilikan ekuiti Bumiputera yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semasa membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12), Perdana Menteri telah membuat pengumuman berhubung cadangan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti Bumiputera.

Pengumuman tersebut telah menyatakan bahawa untuk memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain.

Pengumuman ini telah menimbulkan beberapa tafsiran yang berbeza telah dibangkitkan oleh beberapa pihak sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah Bumiputera akan mengambil hak kaum lain.

“Perundangan dan peraturan ini akan terus berkuat kuasa. Pelupusan saham dan/atau syarikat swasta adalah tertakluk kepada kelulusan pengawal selia sektor kementerian dan agensi berkaitan.

”Sebagai contoh, bagi perolehan hartanah yang melibatkan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera dan/atau agensi kerajaan bernilai RM20 juta dan ke atas, perlu mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

”Ini adalah untuk memastikan kepentingan Bumiputera dalam syarikat yang sedia ada tidak terhakis,” tambah beliau. – MalaysiaGazette