Gambar: Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Gara-gara menunggang secara berbahaya dengan membuat aksi superman, lima lelaki terpaksa tidur dilokap selepas dicekup pihak berkuasa di Jalan Kuching, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT), ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua yang ditangkap merupakan remaja berusia 16 hingga 21 tahun ketika pihaknya melaksanakan Operasi Samseng Jalanan.

Katanya, selain melakukan aksi Superman, remaja-remaja terbabit turut melakukan aksi zig zag dan roket serta bersaing sambil berlumba.

“Mereka dibawa ke Balai Trafik, Jalan Bandar dan akan dituduh dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam Operasi Pelbagai pula Sarifudin berkata, pihaknya menahan 10 lelaki berusia lingkungan 27 hingga 69 tahun kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, kesemua mereka telah melakukan kesalahan
di bawah Sek 45(A) APJ 1987 dan tuurt dibawa ke Balai Trafik, Jalan Bandar untuk dituduh di bawah seksyen yang sama.

Dalam operasi tersebut beliau berkata, sebanyak 343 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

Sebanyak 11 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 kerana kesalahan mengubah suai struktur kenderaan ( ekzos ).

“Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi hujung minggu bagi membanteras sepenuhnya isu
samseng jalanan di Kuala Lumpur serta menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang- undang jalan raya,” tegasnya.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat untuk menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau
Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette