S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi MIC hari ini menetapkan pemilihan parti di peringkat sayap bermula pada bulan ini dengan penamaan calon pada 10 Okt.

Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran berkata pemilihan dan mesyuarat perwakilan bagi sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri parti berkenaan ditetapkan pada 17 Okt.

“Bagi peringkat bahagian, penamaan calon akan berlangsung pada 17 Okt manakala mesyuarat dan pemilihan ditetapkan pada 24 Okt,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi MIC di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Menurut Vigneswaran, penamaan untuk pemilihan MIC di peringkat negeri, majlis tertinggi dan naib presiden ditetapkan pada 20 Nov dan pemilihan ditetapkan 27 Nov.

Beliau berkata, MIC memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti kerana negara kini di bawah pentadbiran baharu dan sudah mula menunjukkan tanda untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

“Banyak perubahan dari segi statistik (Covid-19) kini. Jadi MIC mengambil kesempatan untuk mengendalikan pemilihan parti,” kata beliau.

Kata Vigneswaran pemilihan baharu membolehkan banyak muka baharu untuk menyertai parti itu di peringkat akar umbi, bahagian dan negeri bagi menentukan corak dan hala tuju MIC selepas ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan menang dua daripadanya di Tapah dan Cameron Highlands.

Namun, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada Januari 2019, MIC memberi laluan kepada calon UMNO, Ramli Mohd Nor yang memenangi kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette