Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi tumpuan yang lebih terhadap pembasmian kemiskinan ketika merangka pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk memberikan fokus terhadap meningkatkan taraf hidup kumpulan B40 dan ekonomi negara.

Katanya, meningkatkan ekonomi penduduk miskin di luar bandar dan juga meningkatkan taraf hidup penduduk miskin di Sabah dan Sarawak merupakan salah satu daripada fokus yang diberikan.

“Bukan sahaja dari segi meningkatkan pendapatan mereka, tetapi menumpukan kepada meningkatkan keselesaan hidup terutamanya di Sabah dan juga di Sarawak, negeri-negeri yang kurang maju iaitu enam negeri Sabah, Sarawak, Perlis,
Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Ini juga kita fokus.

“Maknanya, bukan sahaja dari segi penduduk secara individu, penduduk yang B40 dan miskin, tetapi, juga dari segi negeri pun…negeri yang dianggap sebagai negeri agak kurang maju berbanding negeri

lain, juga kita beri fokus untuk majukan,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Perdana Menteri, yang disiarkan secara langsung, sebentar tadi.

RMK-12 adalah rancangan lima tahun Malaysia yang mengambil masa sehingga tahun 2025.

Ismail Sabri berkata, fokus meningkatkan taraf hidup penduduk miskin dan juga negeri-negeri miskin agar pembahagian kekayaan dapat diagih sama rata kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum, bangsa dan juga agama.

Mengulas mengenai RMK-12, perdana menteri berkata, sasaran kerajaan adalah mahu menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita sebanyak RM10,000 untuk jangka masa panjang.

Pada tempoh jangka pendek ini adalah membuka semula ekonomi walaupun tidak sepenuhnya.

Tambahnya, fasa di negeri-negeri sudah berpindah mulai minggu lepas dan tidak ada lagi negeri fasa satu, yang menyekat banyak pergerakan terutama sektor ekonomi.

Bagi fasa kedua, ketiga, malah ada negeri yang sudah ke fasa keempat seperti Negeri Sembilan. pula, ekonomi di negeri berkenaan sudah dibuka sepenuhnya.

“Cuma sektor sosial saja masih belum dibuka sepenuhnya, seperti perkahwinan . Tapi sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya.

“Kita percaya kes dalam keadaan yang menurun. Mungkin ada 10,000 atau 12,000 atau 9,000. Beberapa ketika akan menurun mungkin empat digit selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette