GEORGE TOWN – Operasi 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Pinang dilanjutkan sehingga 31 Oktober ini bagi mencapai imuniti kelompok untuk golongan remaja.

Exco Agro-tech dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, perkara itu diluluskan menteri menerusi mesyuarat Kesihatan Khas Covid-19 Pulau Pinang hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, dua PPV di Universiti Sains Malaysia di Bukit Gambir serta  PPV Sains di Bertam ditutup bagi memberi laluan kemasukan kepada penuntut universiti berkenaan yang akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi.

“Selain itu, dalam mesyuarat sama kita juga telah mendapat kebenaran memberikan vaksin secara walk-in di 10 PPV yang masih aktif itu.

“Mereka yang terlepas janji temu dos kedua, belum mendapat vaksin boleh hadir secara walk-in.

“(Seramai) 5,000 pelajar sekolah agama berdaftar dan tidak berdaftar yang masih belum di vaksinasi juga boleh hadir sama manakala bagi remaja berusia 12 tahun mereka boleh walk-in bermula Rabu ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

PPV ialah, Tapak Pesta, Dewan Balik Balik Pulau, Spice Convention Centre, Dewan Milenium, Dewan Convention Perda, SP Arena Seb Jaya, Tapak Expo Seberang Jaya, Hotel Vangohh Cherok Tok Kun, Dewan Jawi, SPS serta Dewan Sungai Bakap.

Mengulas lanjut, Dr. Norlela berkata, Pulau Pinang akan memulakan pemberian vaksin dos ketiga atau ‘booster dos’ dalam masa terdekat.

“Seramai 480,000 individu telah dikenal pasti untuk divaksinasi dan mereka membabitkan petugas barisan hadapan, warga emas serta pesakit komorbid,” kata beliau.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beberapa PPV masih dibuka bagi program vaksinasi remaja, manakala klinik kerajaan dan swasta akan dijadikan PPV melibatkan dos ketiga dan dos penggalak. – MalaysiaGazette