Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Dah Teluk Nibung di Langkawi, Kedah yang dikategori sebagai kluster tempat kerja selepas 59 individu di kesan positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.

Katanya, sehingga hari ini seramai 249 individu telah menjalani ujian saringan dengan 187 individu didapati negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidak patuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan.

“Semua kontak rapat telah dikenal pasti dan dilakukan swab serta diberi arahan perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama 10 hari.

“Sehingga kini, penularan jangkitan adalah terkawal dan kesemua kes jangkitan Covid-19 kluster Dah Teluk Nibung sehingga ini adalah kategori 1 dan 2 sahaja sementara semua pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya menerusi perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, secara kumulatif seramai 40,458 individu telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak 16 September sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Ujar beliau, sejumlah 34,038 orang telah disaring di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

“Seramai 36,842 orang telah menjalani ujian RTK-Ag dan daripada jumlah tersebut sebanyak 149 kes positif Covid-19 telah dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut. Mereka telah diasingkan dan dikenakan HSO.

“Manakala seramai 641 orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” ujarnya.

Pada 26 September lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah mengesan satu kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong ke Langkawi iaitu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari Nilai, Negeri Sembilan.

Kanak-kanak terbabit bersama ibu bapanya tiba di Langkawi melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. – MalaysiaGazette