KUALA LUMPUR – Bekalan ayam kini semakin berkurangan daripada pihak penternak menjadikan harganya kini semakin meningkat.
Itu pendedahan Pemborong Ayam Bismi, Azahar Abd Ghani yang menyifatkan bekalan ternakan itu buat masa ini seperti emas.
Menurutnya, kebanyakan penternak khuatir untuk menambah bilangan ayam ekoran Perintah kawalan Pergerakan (PKP) selama lebih kurang enam bulan yang merugikan mereka sehingga jutaan ringgit.
“Maklumat terkini yang kami dapat daripada salah satu penternak ayam di Kedah, situasi yang berlaku sekarang, memang ayam hidup susah nak dapat di pasaran.
“Sekarang ini penternak sudah kerugian enam bulan dan sekarang berhati-hati takut untuk tambah jumlah ayam sebab takut rugi lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ujar Azahar, Covid-19 memberi impak kepada pelbagai sektor ekonomi yang sebelum ini boleh menjalankan perniagaan dengan lancar.
“Bermula PKP, daripada ayam sehari boleh dikeluarkan 100,000 ekor tiba-tiba terhenti, berlaku lambakan. Pekerja pula telah dikurangkan kerana tidak boleh beroperasi tidak boleh bayar gaji semua kerja, harga dedak pula naik.
“Penternak di Kedah memberitahu mereka kerugian RM1 juta sepanjang enam bulan PKP,” katanya lagi.
Tambah Azhar, umum mengetahui harga dedak sejak kebelakangan ini juga menjadi salah satu faktor terhadap kenaikan harga ayam.
“Sekarang ini harga dedak sudah naik sebanyak RM27, sebab pembuatannya adalah import semuanya,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, kata beliau, pembukaan pelbagai sektor khususnya restoran baru-baru ini sudah tentu meningkatkan lagi permintaan.
“Sekarang memang permintaan tinggi jadi memang kenaikan itu berlaku dan dikenakan kepada pengguna terakhir,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya para penternak ayam yakin PKP tidak akan dilaksanakan sekali lagi, Azhar menganggarkan bekalan ayam akan kembali normal menjelang hujung Oktober ini. -MalaysiaGazette