Covid-19 cases Noor Hisham Abdullah infection
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah harian pesakit yang pulih daripada Covid-19 di negara ini terus mengatasi jangkitan baharu apabila sebanyak 15,456 kes sembuh dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi berbanding 8,075 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif individu yang pulih kini seramai 2,116,021 orang.

Menurut beliau, terdapat 867 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) yang merangkumi 807 kes disahkan positif Covid-19 manakala 60 kes disyaki, kemungkinan (probable) dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 461 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 342 kes positif Covid-19 sementara 119 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 160 kes atau 2 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 7,915 kes (98 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak enam kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes import manakala 8,069 kes penularan dalam negara melibatkan 7,248 warganegara dan 821 bukan warganegara.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejumlah 15 kluster baharu dikesan membabitkan tujuh kluster di tempat kerja, enam kluster komuniti dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, tujuh kluster dilaporkan berlaku di Kelantan manakala masing-masing dua kluster di Johor, Pulau Pinang, Perak dan Sabah.

“Kluster tempat kerja iaitu kluster Industri Jalan Mak Mandin di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang menyaksikan seramai 265 individu telah disaring dengan 124 kes positif Covid-19 dikesan.

“Manakala kluster kumpulan berisiko yang dikesan di Jalan Lembah Permai Satu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 19 kes positif dikesan selepas 71 individu disaring.

Tambah Dr. Noor Hisham, kluster Sungai Tabulion di Kinabatangan, Sabah dikesan melibatkan pekerja sebuah ladang yang terletak di Mukim Buang Sayang.

Katanya, kes indeks bagi kluster berkenaan membabitkan seorang wanita warga Filipina berusia 52 tahun yang dikesan positif hari ini hasil saringan individu bergejela.

“Seramai 63 individu menjalani saringan dan kesemua mereka disahkan positif wabak tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette