Lelaki berusia 30 tahun yang mempunyai masalah kesihatan mental ditemui mati jatuh dari tingkat 14 pangsapuri kos rendah di Bandar Tasik Selatan, Cheras pagi tadi.Gambar Ihsan IPD Cheras.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 14 Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, Cheras di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Besi yang berada di lokasi mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia sekitar 30 tahun terbaring di tempat letak motosikal pangsapuri tersebut.

“Berdasarkan siasatan dan temubual awal, isteri si mati mengatakan mangsa adalah pesakit mental dan masih menerima rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur.

“Siasatan akan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaita kejadian diminta untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ketua Polis Balai Polis Sg Besi, Insp Muhammad Sallehuddin Bin Drahaman di talian 03-9058 2222. – MalaysiaGazette