Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Kerajaan dilihat mahu menambat hati kaum Cina apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berpendapat, para pemimpin politik berbangsa Cina dalam kerajaan telah berjaya memainkan peranan mereka untuk mendapatkan keistimewaan dalam hal tersebut.

Beliau mendakwa, pemimpin dari parti MCA khususnya telah menggunakan kedudukan sebagai menteri bagi meraih dana untuk diberikan kepada pihak-pihak yang terkesan dalam situasi semasa ketika ini.

“Secara umumnya, saya melihat parti-parti politik Cina sama ada dalam kerajaan atau pun di luar mereka bersatu hati dalam memperjuangkan isu ini. Mereka berjaya memberikan tekanan kepada kerajaan bagi mendapatkan dana tersebut melalui menteri-mentrei yang ada dalam kerajaan terutama MCA khususnya.

“Sekarang ini, apa yang penting adalah bergantung kepada pemimpin masing-masing tidak kira apa juga bangsa dalam kerajaan untuk bagaimana mereka boleh guna kedudukan bagi mencapai matlamat yang dikehendaki,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Zaman berkata, tindakan MCA itu juga memberi kredit kepada DAP kerana parti itu juga memperjuangkan perkara sama ketika berada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, DAP juga menunggu peluang dan MCA dilihat telah membantu kelestarian perjuangan yang pernah terhenti selepas kerajaan PH tumbang pada Mac tahun lepas.

Tambahnya, meskipun mengetahui sekolah Cina ini tidak dilindungi oleh Perlembagaan namun disebabkan bangsa Cina ada kedudukan dalam Kabinet mereka boleh menggunakan keistimewaan yang ada untuk membantu kaum mereka.

Katanya lagi, DAP akan menunjukkan  langkah untuk membantu sekolah Cina adalah usaha daripada mereka dan bermacam-macam cara akan digunakan untuk mengangkat perkara itu.

“Ikut pada merekalah (DAP) bagaimana mereka pandai gunakan isu untuk mempengaruhi pengikut-pengikut mereka itu dengan menggunakan alasan-alasan yang kukuh,” ujarnya.

Pada masa sama Kamarul Zaman turut mencadangkan agar pemimpin Melayu dalam kerajaan melakukan perkara sama khususnya dalam membela nasib sekolah untuk anak-anak berbangsa Melayu Islam seperti sekolah tahfiz dan sebagainya.

Katanya, membuat bising berhubung perkara itu menerusi saluran media bukan jalan penyelesaian yang baik dalam menghadapi isu sebaliknya, memikirkan kaedah untuk mendapatkan perkara sama merupakan suatu langkah bijak dalam mengurus sesuatu.

“Mereka juga kena guna saluran yang samalah kalau nak capai matlamat itu. Tak boleh nak marah sangat kalau diberikan kelulusan (lulus dana sekolah Cina) tersebut sebab mereka bijak.

“Mereka terpaksa akui kerana pemimpin Cina berjaya meyakinkan pihak kerajaan. Jadi, mereka kena buat lebih daripada itu supaya apa yang diusahakan berjaya,” tambahnya. – MalaysiGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Kenapa masih iktiraf sekolah menengah persendirian Cina – Ridhuan