Pejuang Taliban berada di luar perkarangan Masjid Eid Gah selepas ia dibom. foto AP

KABUL – Beberapa orang terbunuh dalam serangan bom di sebuah masjid di Kabul, kata Taliban.

Insiden itu turut mencederakan 20 orang akibat letupan di Masjid Eid Gah, ketika solat diadakan untuk ibu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid yang meninggal dunia.

Ia adalah letupan besar pertama di Kabul sejak pasukan Barat menarik diri pada bulan Ogos lalu.

Beberapa jam kemudian, Taliban melancarkan serangan ke tempat persembunyian militan IS.

Tiga orang yang disyaki militan IS dikatakan terbunuh dalam operasi tersebut namun laporan ini belum disahkan.

Setakat ini tidak ada kumpulan yang mengaku berada di belakang serangan itu, tetapi IS baru-baru ini mengaku melakukan beberapa pengeboman di bandar Jalalabad.

Kumpulan IS menentang keras Taliban, yang kembali menguasai Afghanistan sepenuhnya dalam serangan kilat ketika pasukan antarabangsa mula keluar dari negara ini.

Pemimpin Taliban mendapat tekanan daripada masyarakat antarabangsa untuk menolak hubungan dengan IS dan al-Qaeda tetapi Taliban terus-menerus menafikan kumpulan militan itu beroperasi di negara ini.

Walaupun serangan itu berlaku di luar masjid, tidak jelas apakah itu secara langsung mensasarkan upacara itu. – MalaysiaGazette