Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad (kanan) hadir pada Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak yang berlangsung secara maya hari ini. Foto NCIA.

KUALA LUMPUR – Perak menerima pelaburan baharu bernilai RM2.34 bilion seterusnya mewujudkan sebanyak 4,400 peluang pekerjaan sekali gus akan memacukan pemulihan sosio ekonomi negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelaburan berimpak tinggi oleh Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melibatkan Eco Medi Glove Sdn. Bhd., Onetexx Sdn. Bhd., PNA Technologies Sdn. Bhd., HICOM-Teck See Manufacturing (M) Sdn. Bhd. dan Dynacare Sdn. Bhd.

Menurut beliau, Perak memberi tumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah terutamanya sarung tangan memandangkan negeri mempunyai kelebihan dalam industri-industri ini berbanding negeri lain.

“Promosi berkaitan pelaburan ke Perak perlu diperluaskan agar negeri menjadi destinasi tumpuan pelaburan di negara ini.

“Dengan ekosistem perniagaan dan infrastruktur yang komprehensif, jumlah tenaga kerja terlatih yang mencukupi, insentif fiskal yang menarik dan NCIA sebagai pemudahcara pelaburan melalui pelbagai program insentif yang di tawarkan, syarikat yang melabur kini lebih yakin dengan keputusan untuk memperluas operasi di Perak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh NCIA.

Saarani hadir pada Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak yang berlangsung secara maya di sini hari ini.

Sebelum itu, Saarani telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak di mana Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John telah membentangkan kemajuan terkini projek-projek dan program-program NCIA di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, NCIA telah menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Perak untuk merancang, melaksana dan menyelaras pembangunan di wilayah yang kurang membangun seperti di Kamunting, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Sitiawan.

“Pelaburan ini dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyumbang ke arah pemulihan ekonomi Perak.

“Perak menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pendigitalisasi dan penerimagunaan teknologi baharu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak 2040,” katanya.

Sementara itu, Jebasingan berkata, pihaknyn penambahbaikan kepada program insentif merangkumi NCER Tax Incentives (NTax@NCER), NCER Talent Enhancement Program (NTEP) dan Dana Usahawan (DU@NCER) dalam usaha menyokong komuniti perniagaan di Perak menghadapi cabaran pandemik Covid-19,

Melalui program DU@NCER, NCIA telah menyediakan geran pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di negeri itu bagi mengatasi implikasi ekonomi terkesan oleh pandemik Covid-19.

“Sehingga kini, program DU@NCER telah menyokong pembangunan 13 usahawan PKS tempatan dengan jumlah pelaburan baharu RM135 juta dan mewujudkan 520 peluang pekerjaan baharu.

“Bagi memastikan Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA akan terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette