rape jokes sexual assault offences Rina Harun Fizz Fairuz Raja Farah Raja Aziz Fauzi Nawawi Anak Halal
Rina Mohd Harun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius insiden seorang kanak-kanak autism yang tular di media sosial akibat dikasari dan disyaki didera oleh sebuah Pusat Intervensi Autism di Bandar Baru Ampang, Selangor.

Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU), beliau terkilan dan sedih dengan perbuatan pengendali pusat intervensi berkenaan yang seharusnya lebih peka dan sensitif dengan keperluan Anak-Anak Berkeperluan Khas.

“Saya hendak agar perkara ini disiasat segera dengan teliti dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi di samping menjadi peringatan kepada pusatpusat jagaan dan pusat intervensi kanak-kanak di negara ini.

“Sesungguhnya, KPWKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan sehingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rina, KPWKM akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana orang yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang boleh menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebagai tindakan responsif kepada isu itu, beliau telah mengarahkan agar KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian seperti mana tertakluk di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada Pusat Jagaan berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil iaitu tindakan LAK atau menyita seperti di bawah seksyen 16A(1) Akta 506.Selain itu, pengendali juga boleh didakwa dan dikompaun seperti yang termaktub dalam Seksyen 21 dan 21A Akta 506.

Tindakan intervensi dari sudut psikososial dan kaunseling akan turut diberikan oleh para kaunselor berdaftar kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang terlibat demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak serta keluarga tidak terjejas dan terpelihara.

Rina juga menasihatkan kepada ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan anak-anak agar mendapatkan perkhidmatan tersebut yang berdaftar dengan JKM.

Menurut beliau, perkara itu amat penting supaya kanak-kanak mendapat pengasuhan dan penjagaan yang berkualiti di Pusat Jagaan yang berdaftar dan keselamatan kanak-kanak lebih terjamin, di samping memastikan anak-anak mendapat penjagaan dari pengasuh yang terlatih.

Maklumat berkaitan pengasuh dan pusat jagaan berdaftar boleh diperolehi di laman rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat di alamat http://www.jkm.gov.my atau semak di laman http://ezi2care.jkm.gov.my.

Menurutnya, dalam menyemarakkan kesejahteraan kehidupan dalam Keluarga Malaysia beliau menyeru masyarakat awam untuk menjadi “mata dan telinga” kepada pihak Kerajaan serta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa PDRM ataupun Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes kes penderaan kanak-kanak.

“Masyarakat awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berdekatan di seluruh negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette