MTEM ingin menyatakan sokongan dan penghargaan kepada Kerajaan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob atas pengumuman RMK12 yang pada pandangan kami memberi harapan bahawa Kerajaan sedang merancang sedaya upaya untuk meletakkan negara di tempat yang sepatutnya, iaitu negara yang amat terkesan akibat Pandemik ini. Penyelarasan sasaran RMK12 berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama wajar dipuji.

Walaupun kita tidak menafikan wujud sedikit kerisauan atau kurang kepercayaan akibat polemik politik yang berpanjangan, namun RMK12 memberi beberapa sinar harapan yang wajar kita lihat dari sudut positif, antaranya:

1. Kesenjangan: Jurang Pendapatan antara Kaum dan Daerah semakin melebar dan
kesedaran kerajaan tentang aspek ini wajar dipuji.

2. Gaji & Upah: Kerajaan juga sedar tentang isu Gaji Rendah yang dihadapi rakyat Malaysia berbanding yang diperlukan. Ini adalah jelas dan memberi makna dalam merangka Belanjawan dan strategi perlaksanaan.

3. Misi SDG: Hasrat murni untuk mencapai sasaran pembangunan lestari berdasar SDG juga memberi mesej misi dan visi kerajaan untuk 10 tahun akan datang.

4. Perhatian pada pembangunan di Sabah, Sarawak dan negeri yang kurang membangun
adalah amat dialu-alukan. Kebanyakannya adalah di negeri yang mempunyai paling ramai
kaum Bumiputera.

5. Sasaran kemajuan ekonomi perdagangan dan industri Bumiputera wajar tidak lagi
berpaksi pada pencapaian ekuiti semata, tapi pengunaan indikator ‘lebihan kendalian kasar’ (GOS) yang lebih mengukur kapasiti pengeluaran Bumiputera. Penekanan kepada
pembangunan rantaian bekalan Bumiputera wajar di beri kerana tanpa rantaian bekalan
bumiputera yang “robust,” bumiputera tidak akan dapat menjana nilai tambah yang besar
dan akan terus beroperasi secara “arbitraging” dan “ali-baba”.

6. Indikator Ekonomi Bumiputera: Tidak lagi menghadkan pada ekuiti semata-mata tapi juga meletakkan sasaran sumbangan Bumiputera kepada KDNK negara. Di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama, ‘lebihan kendalian kasar’ (GOS) yang perlu dicapai pada 2030 oleh Komuniti Ekonomi Bumiputera adalah sebanyak RM 680 Bilion.

7. Pembangunan Bumiputera: Pengwujudan Bahagian Kemakmuran Bumiputera memberi
isyarat kerajaan ingin terus melakukan kajian dan penyelarasan berkenaan mandat dan
fungsi unit berkenaan untuk menambah baik agenda kemakmuran Bumiputera. Kita
berharap cadangan Tindakan Pelan Bumiputera akan memberi hala tuju yang jelas pada
hujung tahun ini, yang paling baik yang pernah dicadangkan sejak DEB dilaksanakan.

8. Dasar Ekuiti Bumiputera: Ini adalah langkah interim yang penting pasca pandemik untuk menyelamatkan ribuan PMKS Bumiputera yang berwibawa untuk bertahan dan diberi bantuan untuk terus kekal dalam pasaran di pelbagai sektor ekonomi yang terkesan bukan kerana kemampuan mereka yang lemah tetapi keadaan yang mendesak. Kerajaan harus pastikan nilai ekuiti bumiputera ini tidak menjadi lebih rendah akibat strategi ini.

9. Digital dan IR4.0: Dalam 10 tahun dunia akan berubah akibat pelbagai ledakan teknologi yang mengubah model perniagaan yang lebih maju dan berdaya saing. Penguasaan teknologi menjadi prasyarat untuk semua sektor dan Malaysia tidak boleh ketinggalan. RMK12 jelas memberi penekanan berkenaan hal ini.

Harapan MTEM juga supaya kerajaan dapat melihat kembali tentang dasar yang berkaitan dengan:

1. Pekerja Asing: Pengurangan Pekerja Asing pasca pandemik ini perlu diberi perhatian
utama kerana ia memberi kesan pada peluang pekerjaan rakyat B40 serta peningkatan
gaji dan upah. Pengecualian hanya boleh dilakukan untuk sektor perladangan dan
pembinaan.
.
2. Sasaran Purata Gaji: Sasaran Purata gaji – Sasaran gaji purata tidak memberi gambaran yang tepat. Sasaran sepatutnya adalah “gaji penengah” bukan “gaji purata”. Kerana nilai gaji purata adalah “terherot” oleh gaji golongan eksekutif atasan yang jauh lebih tinggi, sayugia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Walaupun kedua-dua metrik ada peranannya, penekanan pada sasaran gaji penengah
memberi lebih impak pada golongan B40.

Namun kerajaan wajar adakan juga sasaran purata gaji penerima pendapatan (wage
earners) kumpulan B40 serta M40 kerana fenomena gaji rendah dan tidak setimpal berlaku pada kedua-dua kumpulan B40 dan M40.

Gaji penengah Malaysia adalah RM2,109 pada tahun 2020 – ini bermakna 50% dari jumlah pekerja 15 juta memperolehi gaji bawah RM2,109. Mampukah mereka hidup secara wajar dan bermaruah?

Kajian diperlukan untuk menentukan tahap pendapatan kehidupan wajar (living wage)
mengikut negeri yang perlu dicapai menjelang 2025. Wawasan Kemakmuran Bersama telah menentukan sasaran purata pendapatan kehidupan wajar sebanyak RM5,800 sebulan pada tahun 2030. Untuk kesejahteraan rakyat jangka panjang dalam rangka “kemakmuran bersama dalam Keluarga Malaysia” – matlamat ini adalah penting dan tidak boleh diambil ringan.

3. Kesan Covid19: Kurangnya penyelesaian yang menggambarkan kita ingin menetapkan
semula ekonomi untuk menangani kesan Pandemik yang merangkumi kesihatan, pendidikan dan pembangunan infrastruktur yang diperlukan dengan penanda aras yang lebih bermakna. Sebagai contoh – Hospital dan Capaian Internet.

4. Kekurangan Data untuk menyokong cadangan RMK12 dan laporan keberhasilan dari
RMK10 dan RMK11 yang jelas dan tuntas. Ada kerisauan dapat dilihat yang mengatakan
RMK12 hampir sama dengan RMK10 dan RMK11, yang bertukar hanyalah olahannya
sahaja.

5. Rumah Mampu Milik: Kajian banyak membuktikan bekenaan hal ini telah menjadi keperluan rakyat dan hal ini juga adalah satu keperluan untuk agenda pembangunan ekonomi yang melibatkan pembangunan infrastruktur yang diperlukan. RMK12 meletakkan hasrat untuk 500,000 rumah mampu milik tetapi tidak ada peruntukan yang ditetapkan.

6. Kebergantungan pada Pelaburan Asing: Kerajaan perlu kaji semula dasar pelaburan
asing (FDI)- yang mana mampu memberi kelebihan pada negara dan yang mana merugikan.

Dari sudut kebajikan pekerja dan kelestarian alam sekitar (SDG), kita wajar lebih arif
(discerning) dengan jenis FDI yang disambut.

Sememangnya kita perlu menjana pekerjaan sebanyak 350,000 ribu setahun untuk
menampung pertumbuhan penduduk, tetapi keperluan ini tidak boleh diselesaikan dengan
jalan pintas hanya dengan menerima apa saja FDI yang datang bergolek sebagai contoh –
“labour-intensive, polluting, low-value, low-tech dan low-wage”; yang cuma mahukan “tax holiday”, “cheap energy, cheap labour” yang menampakkan undang-undang buruh dan alam sekitar yang longgar dan lemah.

Golongan ini lumrahnya golongan FDI yang memberi pulangan nilai tambah dalam negeri
yang rendah dan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar
yang akan menjadikan negara kita bergantung selama-lamanya pada tenaga pekerja asing. Keadaan ini akan terus tidak dapat dipulihkan apabila kita meratifikasikan FTA-FTA saperti CPTPP.

7. Pembangunan ekonomi Bumiputera: Penglibatan ekonomi Bumiputera dari segi
perdagangan dan industri adalah terlalu kecil sebagaimana digambarkan kedudukan KDNK Bumiputera dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Besama (WKB). Jelas kebergantungan masyarakat Bumiputera pada pendapatan dari gaji terlalu tinggi memberi gambaran seolah Bumiputera tidak mempunyai ekonomi yang substantif – hanya sebagai pekerja dan pengguna, bukan pengeluar dan bukan majikan.

Bererti matlamat teras kedua DEB telah gagal sama sekali. Antara elemen penting meningkatkan penglibatan ekonomi Bumiputera adalah strategi BCIC melalui pencapaian lebihan kendalian kasar (GOS) atau pulangan dari modal dan pelaburan.

WKB menyatakan nilai aktiviti perdagangan dan perindustrian Bumiputera hanya RM81
bilion pada tahun 2014, berbanding dengan RM354 billion untuk Bukan Bumiputera atau
lebih 4 kali ganda.

Satu tindakan strategi pembangunan ekonomi Bumiputera perlu diadakan jika
pengimbangan ekonomi dihasratkan – supaya ekonomi Malaysia tidak diidentifikasi dan
didominasi berasaskan etnik.

8. Hasil Kerajaan: Bagi tujuan membina negara (nation-building) dan membiayai kebajikan rakyat (social spending) sememangnya kerajaan memerlukan peningkatan hasil kerajaan. Malaysia adalah negara paling terendah di Dunia dari segi nisbah cukai pada KDNK (12.4% tax-to-GDP ratio). Negara Asean seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina mempunyai nisbah yang lebih tinggi. Purata nisbah ini di Asia adalah 21.0%; OECD 33.8%.

Perbelanjaan sosial Malaysia juga antara terendah di dunia dengan hanya 3.8% dari KDNK
(2017). Antara negara ASEAN kita lebih rendah dari Singapura (4.2%) dan Vietnam (6.3%).

Negara seperti Jepun (23.1%), Korea Selatan (10.1%), Mexico (12%). Jelas dari data ini
menunjukkan perbelanjaan untuk rakyat amat rendah.

Cukai progresif perlu dipelbagaikan lagi dengan Cukai ke atas golongan berpendapatan
tinggi perlu dipertingkatkan dan instrumen cukai perlu dipelbagaikan lagi dengan cukai baru saperti cukai kekayaan, cukai keuntungan modal, dan cukai dividen.
Apa yang penting juga perbincangan berkenaan FRA untuk Bajet
2022 tidak menjurus kepada menyempitkan ruang fiskal ke arah langkah berjimat cermat.

Dalam rangka 4 hingga 5 tahun RMK12 peningkatan hasil kerajaan amatlah wajar dan perlu melalui cukai kearah kemampuan perbelanjaan untuk rakyat pada nisbah 5% hingga 6%.

9. Perlaksanaan: Banyak aspirasi yang murni dan baik terkandung dalam RMK12 ini. Namun aspirasi perlu di terjemahkan kepada sasaran yang jelas dan kebolehan untuk mengukur.

Seterusnya menjadi mandat nasional supaya apa jua mekanisma dan langkah-langkah
dasar yang akan dirangka dan ditetapkan mempunyai “aspek kesahan” dan wajib
dilaksanakan. Struktur pemerintahan dan pendekatan “whole-of-government’ sedemikian lah yang diperlukan.

Dengan sasaran jelas dan kebolehan untuk mengukur serta pemantauan dapat dilakukan setiap suku tahun, dan permasalahan dan kelemahan strategi dan program boleh di kenal pasti dan diperbaiki, tidak perlu untuk menunggu untuk mengkaji semula pada tempoh pertengahan tahun. Langkah pencegahan rasuah dan kronisme wajib diperhebatkan. Akta Persaingan dan Akta AntiPencatutan perlu diperkukuhkan supaya mampu dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.

Selari dengan slogan Keluarga Malaysia, kami mengajak semua rakyat berbilang kaum untuk menyokong kerajaan dalam usaha untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih maju dan makmur. Kami berharap kerajaan akan terus melakukan libat urus dengan semua pemegang taruh Ekonomi Bumiputera untuk menambah nilai dan menjayakan RMK12

Abdul Halim Husin 
Pengerusi
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)