Pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Raja Muda Shah Alam memastikan keselamatan pelajar pendidikan khas bergerak keluar dari sekolah setelah kerajaan membuka semula institusi pendidikan tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 04 OKTOBER 2021.

SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meletakkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di institusi pendidikan yang mula dibuka, hari ini.

Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, ia bagi membantu pihak sekolah memastikan ibu bapa dan penjaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di kawasan sekolah.

“Ini mungkin percubaan untuk melihat bagaimana pihak sekolah melaksanakan SOP dan mengawal pelajar-pelajar ini semasa sesi persekolahan.

“Sekiranya pihak sekolah bergantung kepada pegawai keselamatan, ia tidak mampu menampung kehadiran pelajar dan ibu bapa dalam satu masa.

“KPM perlu pertimbangkan untuk meletakkan tiga atau dua pegawai Rela di luar sekolah untuk memastikan SOP dan arahan dipatuhi penjaga dan ibu bapa.

“PIBG mengharapkan ibu bapa untuk sama-sama menjaga SOP apabila kita mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, di sini, hari ini.

Hari ini institusi pendidikan di bawah KPM di Lembah Klang dan Melaka mula dibuka selepas beralih ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri bercakap selepas tamat sesi pembelajaran pada pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2021.

Selain itu, beliau juga menggesa KPM melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas semua guru sebelum dibenarkan bertugas dalam kawasan sekolah.

“KPM juga perlu membekalkan kit ujian kendiri (RTK-Antigen) untuk membuat saringan Covid-19 sebelum guru memulakan sesi persekolahan.

“Kalau boleh ujian saringan ini kita buat secara berkala seminggu dua atau tiga kali.

“Walaupun kita menuju peringkat endemik Covid-19 di negara ini, tapi saya rasa langkah-langkah ini perlu diambil maklum,” katanya.

Menurutnya, langkah itu wajar memandangkan pelajar-pelajar di bawah 12 tahun masih belum mendapat vaksin, apatah lagi pelajar dalam golongan orang kurang upaya (OKU).

“Pelajar-pelajar sekolah rendah kebanyakan belum dapat vaksin, kalau kita nak bandingkan dengan sekolah menengah proses vaksinasi sedang berjalan.

“Mungkin dalam tempoh percubaan ini atau proses untuk memulakan sesi persekolahan ini dapat dilakukan ujian saringan menggunakan RT-PCR ke atas guru-guru,” katanya.

Sementara itu, KPM juga digesa menangguhkan sesi persekolahan secara penuh ke tahun hadapan dengan melakukan penyelarasan.

“Saya juga mendapat maklum daripada pelajar-pelajar, ibu bapa dan guru, kalau boleh sesi persekolahan sepenuhnya kita tahu akan bermula pada tahun hadapan.

“Penggiliran mungkin akan dibuat dalam masa sebulan dua ini, cuma ada dalam kalangan ibu bapa dan guru yang risau.

“Kalau boleh kita mohon pihak KPM untuk menyelaraskan bahawa sesi persekolahan itu ditangguhkan ke tahun hadapan,” katanya.

Katanya lagi, ia bagi memudahkan ibu bapa dan guru untuk memastikan segala SOP yang ditetapkan sepanjang sesi persekolahan dijalankan dengan baik.

“Harapan Pergerakan Pemuda untuk kita sama-sama mengekang wabak Covid-19 ini agar tidak meningkat terutamanya di Shah Alam dan dalam Daerah Petaling khususnya dalam kawasan sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette