Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan beliau telah memegang jawatan Pengarah Kumpulan dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Berhad dari Januari 2009 hingga Jun 2010.

Melalui jawatan ini, beliau juga telah dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat atau syarikat bersekutu Kumpulan Kenanga, termasuk di Capital Investment Bank (Labuan) Limited.

Pada bulan Jun 2010, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd dan melepaskan kesemua perlantikan sebagai eksekutif dan pengarah di dalam Kumpulan Kenanga.

”Walaupun pejabat saya ketika dihubungi telah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa saya telah melepaskan jawatan pengarah ketika saya meninggalkan
Kumpulan Kenanga pada bulan Jun 2010, mereka tetap menerbitkan artikel tersebut dan membabitkan nama saya dengan memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment (Labuan) Limited, walhal ianya adalah sebahagian daripada Kumpulan Kenanga.

”Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam saya untuk mendapatkan nasihat lanjut dan tindakan susulan yang sewajarnya,” ujar beliau yang mengulas mengenai artikel yang bertajuk “Politicians, Ministers and M’sian Uber Rich Revealed in Latest Offshore Leak” oleh portal tersebut. – MalaysiaGazette