Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya. foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menarik balik peruntukan RM15 juta yang diluluskan kepada sekolah persendirian Cina kerana pemberian itu dilihat  melanggar Perlembagaan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan telah memberi isyarat salah kepada rakyat berhubung perkara itu seolah-olah undang-undang yang ada boleh dilanggar.

Katanya, kerajaan sepatutnya tidak melayan tuntutan yang dibuat oleh sekolah-sekolah terbabit kerana ia hanya akan menggalakkan lagi mereka untuk menuntut perkara lain pada masa akan datang.

“Kita nak lihat di bawah peruntukan mana dana ini boleh diberikan, dalam akta dan fasa mana dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kelulusan ini dibuat…sebab ini sekolah swasta yang dibuat oleh NGO.

“Jadi, itu bagi saya sudah macam melanggar akta Perlembagaan dan sebenarnya kerajaan memang tak boleh bagi pun…tapi, seperti biasalah bila ditetapkan oleh orang politik menyebabkan kerajaan beri peruntukan itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Aminuddin berkata, tindakan kerajaan itu juga boleh menyebabkan mana-mana pihak lagi selepas ini meminta-minta kepada kerajaan untuk mendapatkan sesuatu dengan memberikan pelbagai alasan asalkan matlamat mereka tercapai.

Ujarnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan seolah-olah menggalakkan pula rakyatnya untuk melanggar peraturan dan itu merupakan mesej tidak sihat dan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya lagi, sekolah-sekolah Cina terbabit bukanlah sekolah yang berada dalam kategori “daif” sebaliknya, mereka boleh beroperasi sendiri tanpa ada bantuan daripada kerajaan sekalipun.

“Mereka (sekolah Cina) boleh buat sendiri bangunan sekolah mereka. Mereka punya kewangan yang kukuh, tiada masalah…dan yang belajar di situ bukan anak-anak daripada sebarangan orang. Jadi, tidak timbul isu mereka hadapi masalah ekonomi dan sebagainya,” ujarnya.

Aminuddin turut menganggap apa yang berlaku ketika ini seolah-olah adanya pilih kasih di mana sekolah-sekolah yang lebih memerlukan seperti maahad tahfiz dan sebagainya tidak mendapat keistimewaan sama.

Katanya, sekolah-sekolah seperti itu sering dianaktirikan dan jika mahukan perhatian perlu melalui pelbagai karenah birokrasi, namun kadang kala tidak juga mencapai apa yang dihajatkan.

Aminuddin menegaskan, kerajaan tidak perlu melayan kerenah sekolah-sekolah Cina terbabit meskipun mempunyai pandangan mahu mendapatkan sokongan daripada kaum tersebut kerana akhirnya, kaum itu sendiri tidak menghargai apabila tiba pilihan raya.

“Tengok sajalah yang lepas-lepas…confirm mereka (kerajaan) tidak akan dapat undi daripada kaum Cina kerana kita dah tau 85 peratus daripada mereka tetap akan beri undi kepada DAP.

“Sebenarnya bagi saya hanya membuang duit sahaja (beri peruntukan kepada sekolah Cina)…ini bukan keadilan,” katanya.

Tegas beliau lagi, sepatutnya kerajaan mengenalpasti terlebih dahulu keperluan untuk memberikan peruntukan besar kepada 63 sekolah swasta Cina terbabit.

Beliau juga tidak faham mengapa kerajaan membuat keputusan sedemikian dan perkara itu dilihat jelas mempunyai kaitan dengan politik.

Katanya, ia boleh dihidu apabila pihak yang menuntut peruntukan berkenaan merupakan mereka yang juga menentang sekolah-sekolah Cina berkenaan sebelum ini.

“Ini semua selingan-selingan politik untuk mengekalkan kuasa seolah-olah mereka ini bagus memperjuangkan kebenaran dan sebagainya walhal mereka semua tahu bahawa sekolah itu mengiktiraf UEC dan tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

“Sekarang ini kita tengok 63 buah sekolah, nanti tahun depan 120 buah sekolah pula, dah kerajaan bagi bantuan…lagi seronoklah mereka.,” ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan perlu tegas dan tahu bagaimana hendak bertoleransi dalam sesuatu isu tanpa perlu mengikut kehendak pihak-pihak tertentu yang akhirnya akan merugikan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lulus peruntukan RM15 juta untuk tambat hati kaum Cina – Penganalisis