Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 172 pertuduhan menyembunyikan wang bukan miliknya berjumlah RM2.9 juta antara 2016 hingga tahun lepas.

Lai Ching Wai, 63, didakwa menyembunyikan wang itu yang dimasukkan oleh Syarikat Aerial Mix Sdn Bhd milik Lim Ming Shun ke dalam empat akaun bank yang didaftarkan atas namanya di daerah Seremban.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di empat buah bank di sekitar Seremban antara 26 April 2016 hingga 2 Jun 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM300,000 bagi kesemua pertuduhan namun Lai yang diwakili peguam S. Khartigesan memohon jaminan minimum atas alasan dia baharu sahaja kehilangan isteri, tiada pekerjaan serta perlu menjaga dua orang anak.

Hakim Diana Md Razali membenarkan Lai diikat jamin RM58,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Dis depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

— BERNAMA