Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kawalan pergerakan termasuk penutupan sempadan negara telah memberi tempias teruk kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan 10 peratus daripada mereka berdepan risiko gulung tikar.

Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU), Datuk Dr. Parmjit Singh berkata, data daripada Education Malaysia Global Service (EMGS) menunjukkan jumlah permohonan pelajar antarabangsa telah menurun 44 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, ia menggambarkan satu impak besar kepada IPTS memandangkan pelajar antarabangsa merupakan sumber pendapatan penting untuk mereka.

Katanya, walaupun sesetengah IPTS hanya mempunyai kira-kira lima peratus pelajar antarabangsa, tetapi angka itu boleh juga mencecah 55 peratus di sesetengah institusi.

“Jumlah pengurangan pelajar pada satu-satu tahun (tahun permulaan) bermakna kami juga kehilangan jumlah yang sama selama tiga atau empat tahun.

“Dengan perhitungan sedemikian, ini bermakna kami dianggarkan kehilangan sehingga 996,000 pelajar dalam tempoh sampai 2025 atau kerugian RM19.92 bilion,” katanya kepada China Press.

Katanya, daripada 440 buah IPTS yang ada, dianggarkan 40 buah telah tutup manakala tambahan 30 buah lagi dijangka berdepan nasib sama dalam tahun ini.

Beliau menjangkakan, IPTS perlu menunggu sehingga 2023 untuk mencatatkan pemulihan secara perlahan dan berperingkat.

Parmjit justeru meminta kerajaan menyediakan subsidi dan juga pengecualian cukai untuk membantu IPTS mengharungi cabaran yang dihadapi. – MalaysiaGazette