PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

GOMBAK – Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan mengalami lebam di muka, pipi, telinga dan peha kiri disyaki didera dan diabai pengasuhnya di Taman Selayang Jaya, Selayang, di sini.

Kesan lebam hanya disedari ibunya selepas mengambil mangsa dari rumah warga emas itu selepas pulang dari tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima aduan daripada ibu mangsa yang berusia 40 tahun mengenai perkara tersebut pada jam 6.30 petang Jumaat lalu.

Katanya, beliau memaklumkan terdapat kesan lebam kemerahan pada bahagian muka, pipi, telinga sebelah kiri dan peha sebelah kiri pada bayi perempuan itu selepas berada di bawah penjagaan pengasuhnya itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dihantar oleh emaknya ke rumah pengasuh terbabit buat kali pertama Jumaat lalu jam 9 pagi dan telah diambil semula oleh ibunya pada jam 4.30 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Zainal Mohamed, wanita tersebut merujuk anaknya kepada doktor di Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Menurut beliau, pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami soft tissue injuries atau kecederaan tisu lembut pada peha kiri dan bahagian muka sebelah kiri.

“Mangsa sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang.

“Berikutan insiden itu, polis juga telah menemui dan telah selesai mengambil keterangan suspek iaitu seorang wanita warga emas berumur 60 tahun itu yang disyaki pengasuh berkenaan bagi membantu siasatan dan kes masih di peringkat siasatan,” ujarnya.

Zainal Mohamed berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak–Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette