Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kedua-dua konsep pengajaran dan pembelajaran (PdP) konvensional dan kontemporari perlu digabungkan.

Gabungan itu perlu bagi menghasilkan sistem pendidikan yang memudahkan kedua-dua pihak iaitu pengajar dan
pelajar, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Menurutnya, perkara itu pernah disuarakan oleh Alan Binder, seorang profesor ekonomi dari Princeton University yang menyatakan bahawa sistem pendidikan masa hadapan akan bersifat just-in-time berbanding just-incase.

“Jadinya, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil pelbagai
langkah bagi menyesuaikan modul pembelajaran kaedah penilaian yang lazim dengan persekitaran digital.

“Bukan hanya tertumpu kepada pemerkasaan aspek infrastruktur seperti menaik taraf Malaysian Research and Education Network (MYREN), kementerian juga turut beriltizam untuk memastikan kapasiti serta kompetensi tenaga pengajar ditingkatkan khususnya dalam mengendalikan teknologi. Ini penting agar matlamat pendigitalan pendidikan tinggi negara dapat dicapai secara tuntas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Akademia peringkat Kebangsaan Tahun 2021 bertemakan ‘Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya’ secara dalam talian hari ini.

Terdahulu, Noraini menegaskan,sistem pendidikan negara kini sedang mengalami transformasi.

Kaedah PdP bukan lagi berasaskan dimensi fizikal atau place-based semata-mata tetapi dihubungkan dengan pantas melalui rangkaian perkhidmatan pendidikan sama ada peringkat nasional ataupun global.

Malah, katanya, konsep virtual learning melalui platform seperti Massive Open Online Courses atau MOOCs, Open Educational Resources, dan Flipped Classroom Online telah secara drastik muncul sebagai sebahagian daripada inovasi disruptif.- MalaysiaGazette