Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengharapkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh negeri Melaka seperti mana yang diperkenan kepada negeri Sarawak.

Langkah itu dapat menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan sehingga 2 Februari tahun depan, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Alasan beliau, proklamasi itu membolehkan usaha-usaha mengawal pandemik Covid-19 dapat difokuskan dan kebajikan rakyat yang terkesan teruk dapat ditangani terlebih dahulu.

Asyraf membuat cadangan itu selepas Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Keputusan itu dibuat selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali mengutus surat kepada Mohd Ali memaklumkan bahawa empat ADUN telah hilang kepercayaan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan Yang di-Pertua DUN, Datuk Ab Rauf Yusoh dalam sidang media di Seri Negeri, hari ini.

”Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021 (Isnin).

”Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas akan diwartakan pada hari ini (5 Oktober 2021, Selasa),” katanya. – MalaysiaGazette