PKR Flag Anwar Ibrahim Prime Minister
Gambar hiasan

MELAKA – Cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya kerajaan Melaka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap tidak sesuai.

Ketua Penerangan PKR Melaka, Muhammad Asri Ibrahim berkata, cadangan itu jelas memperjudikan kesihatan dan keselamatan rakyat demi kepentingan politik.

“Saya yakin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan bersetuju dengan idea separuh masak yang dilontarkan oleh Presiden UMNO dalam keadaan negara menuju jalan keluar pemulihan pandemik ketika ini.

“Dengan semangat Keluarga Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, persaingan politik ini perlu dilihat sebagai satu persaingan politik yang sihat di padang yang rata dan mandat rakyat yang telah diterima oleh Pakatan Harapan pada PRU-14 perlu dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Asri berkata, sekiranya langkah itu diambil maka ia akan mencerminkan sikap mementingkan diri sesetengah pihak.

“Kenyataan bersifat dangkal daripada Presiden UMNO yang menyatakan perlunya diadakan PRN untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di Melaka dilihat kebudak-budakan dan bersifat mementingkan diri tanpa memikirkan implikasi yang akan berlaku kepada rakyat,” katanya lagi.

Semalam di Dewan Rakyat, Ahmad Zahid mencadangkan supaya PRN negeri itu diadakan bagi memberi semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan bagi negeri itu.

Ia susulan tindakan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat-kuasa semalam. – MalaysiaGazette