Foto Instagram Elyana.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Elyana berkongsi tahap perkembangan kesihatan dirinya di mana penglihatannya kini semakin kabur.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh penyanyi yang popular dengan lagu Kalis menerusi satu perkongsian di akaun Instagram miliknya.

“Penglihatan semakin hari makin kabur… baru tau seksanya rabun.

“Masa kecil nak sangat rabun sebab nak pakai cermin mata.. Sanggup tengok televisyen dekat-dekat,” tulisnya.

Pada Julai lalu, Elyana, 34, telah menjalani rawatan radioterapi pada bahagian hati dan pinggul bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.

Sebulan sebelum itu, Elyana dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi berikutan penyakit kanser limfoma yang dihadapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.

Elyana menghidap kanser limfoma sejak 2012 membuat pendedahan mengenai penyakitnya pada 2017 ketika tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.

Pelakon filem Dunia Baru The Movie dan Dukun itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010.

Mereka dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette