Wee Ka Siong mengadakan lawatan di laluan Putrajaya Fasa 2. foto FB Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa 2 kini sudah siap 93.52 peratus dan dijangka beroperasi pada Januari 2023.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerja-kerja infrastruktur utama seperti terowong, stesen dan struktur lain sudah siap.

”Selebihnya kerja yang perlu disiapkan merangkumi perkhidmatan bangunan, kemasan seni bina, landskap dan lain-lain,” katanya.

Beliau juga yakin Fasa Satu Laluan Putrajaya iaitu dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu yang kini hampir 99.9% siap akan memulakan perkhidmatan operasi kurang daripada dua bulan lagi.

Apabila Fasa Satu bermula, rangkaian pengangkutan awam rel Lembah Klang akan diperluas dengan sembilan buah stesen baru seterusnya meningkatkan liputan ke kawasan baru seperti Damansara Damai, Bandar Sri Damansara, Kepong, Jinjang dan Kampung Batu.

”Pembangunan ini akan menjadikan Pelan Pembangunan Rel Bandar menjadi tonggak sejarah yang antara lain dapat meningkatkan taraf pengangkutan dan kehidupan penduduk di Lembah Klang.

”Pembinaan Laluan MRT Putrajaya ini tepat pada masanya kerana ia menjadi pemangkin penting dalam pemulihan ekonomi negara. Ia membolehkan ramai pekerja dapat kembali bekerja dan kembali menjalani kehidupan normal sebagai satu Keluarga Malaysia,” ujar beliau.

Ka Siong berkata, kemajuan MRT Putrajaya ini wajar dipuji kerana walaupun berdepan waktu sukar akibat Covid-19 sehingga melumpuhkan aktiviti ekonomi, namun kontraktor dan subkontraktor dapat mengharungi rintangan dengan menyelesaikan kerja-kerja pembinaan sivil dan sistem, dan dalam masa yang sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

”Tahniah kepada MRT Corp, Kontraktor Turnkey MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd dan Kontraktor-kontraktor Pakej Kerja, subkontraktor dan vendor projek Laluan Putrajaya yang telah berjaya memastikan kerja-kerja diteruskan walau berbagai halangan yang perlu dihadapi,” ujarnya.

Tambah beliau, ketika negara bergerak dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan dan semua prosedur operasi standar (SOP) Covid-19 mesti dipatuhi.

Kementerian Pengangkutan akan memastikan bahawa pengendali pengangkutan awam menerapkan SOP ini dengan ketat demi menjamin keselamatan pengguna. – MalaysiaGazette