Murugesan menunjukkan laporan polis dibuatnya berhubung tablet klon yang diagihkan kepada pelajar sekolah Tamil di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Karunai Ovivam mendakwa ada pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang terlibat dalam penyelewengan wang membabitkan pembelian tablet untuk sekolah Tamil di negeri itu.

Presidennya, S. Murugesan berkata, sebanyak 500 tablet jenama Samsung Galaxy diagihkan kepada pelajar melalui satu jawatankuasa sekolah-sekolah Tamil yang diketuai pemimpin berkenaan pada 25 September lalu.

Jelas beliau, dana sebanyak RM212,500 diperuntuk kerajaan negeri untuk membeli peranti tersebut sebelum diagihkan kepada pelajar daripada keluarga B40.

Murugesan.

“Bagaimanapun, tablet yang diagihkan kepada 28 buah sekolah Tamil di negeri ini dipercayai bukan jenama yang dijanjikan sebaliknya peranti klon.

“Berdasarkan peruntukan yang diperoleh sebuah tablet bernilai anggaran RM425 namun mereka dipercayai seleweng wang berkenaan dengan membeli peranti klon bernilai RM225 mengikut harga pasaran di platform e-dagang.

“Ini sekali gus menunjukkan kira-kira RM150,000 wang yang diperuntukkan kerajaan negeri diseleweng pemimpin berkenaan dan individu terlibat mengendalikan sekolah-sekolah Tamil bagi Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Komtar  hari ini.

Tambah Murugesan, Setiausaha Jawatan Kuasa Sekolah-sekolah Tamil, Krishnasamy mendakwa tablet tersebut dibeli menerusi tender daripada enam syarikat berasingan namun Bahagian Perancangan Ekonomi negeri tidak mengeluarkan sebarang tender membabitkan pembelian itu.

“Selain itu, Krishnasamy sebelum ini mendakwa wang diperuntukan untuk membeli tablet itu sudah diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah-sekolah Tamil untuk membeli peranti, ini juga membuktikan kenyataan beliau berhubung tender itu sudah bercanggah,” kata Murugesan.

Mengulas lanjut, Murugesan berkata, keluarga pelajar yang mendapat peranti itu mendakwa mereka perlu membayar wang secara ansuran sedangkan Ramasamy memberitahu bahawa tablet itu diberi secara percuma.

“Lebih mengelirukan, keluarga pelajar tersebut juga perlu memulangkan semula tablet itu walaupun wang ansuran sudah dibayar. Ini menunjukkan tablet itu diberi secara sewaan bukan percuma.

“Susulan insiden ini, saya telah membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Pendidikan serta Persatuan Pengguna Pulau Pinang  kerana bimbang peranti klon itu boleh memudaratkan keselamatan pelajar,” jelas beliau. – MalaysiaGazette