Suasana jalan utama yang kebiasaan sibuk disebabkan tumpuan pengunjung kelihatan lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Genting Highlands, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2021.

ROMPIN – Orang Pahang memulakan cuti-cuti dalam negeri dengan pembukaan semula Genting Highlands dan Pulau Tioman.

China Press melaporkan, banyak pengusaha di Pulau Tioman memberi maklum balas bahawa tempahan perkhidmatan mereka telah penuh, tetapi jumlah itu berkurangan sedikit setelah kerajaan negeri mengehadkan kunjungan pelancong Pahang sahaja.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Mohd. Azahari Mukhtar berkata, pada hari pembukaan semula pada 1 Oktober, kira-kira 300 orang, semuanya penduduk Pahang, telah menaiki bot melalui Pelabuhan Teluk Gading di Rompin ke Pulau Tioman

Beliau memberitahu China Press, lebih seratus pelancong juga mengunjungi pulau itu pada 2 Oktober, menjadikan kira-kira 500 orang melawat Pulau Tioman dalam tempoh dua hari selepas mereka melepasi saringan ujian COVID-19.

Katanya, pelancong telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pihak polis tidak mengeluarkan apa-apa saman atau surat amaran.

Ujarnya, selain melakukan rondaan biasa, unit drone dari Bukit Aman juga dikerahkan untuk memantau keadaan pelancong di Pulau Tioman secara lebih menyeluruh.

Jelasnya, pelancong hanya boleh melawat Tioman melalui Teluk Gading di Rompin manakala jeti di Mersing, Johor hanya terbuka kepada penggunaan penduduk pulau dan bukannya pelancong.

Mengikut SOP yang ditetapkan, pelancong perlu menyediakan dan membeli kit ujian COVID-19 sendiri serta perlu berada di pelabuhan dua jam sebelum masa pelepasan.

Sementara itu, Sinchew Daily pula melaporkan Genting Highlands yang ditutup selama empat bulan telah dibuka semula dengan tiga buah hotel beroperasi bermula 30 September.

Orang Pahang justeru mempunyai peluang untuk merasakan kedinginan tanah tinggi di samping menikmati pelbagai aktiviti riadah dan membeli-belah.

Pihak Genting Highlands juga bersedia membuka lebih banyak kemudahan apabila orang ramai dibenarkan kerajaan untuk merentas negeri. – MalaysiaGazette