Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi permohonan pembelaan diri kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan kes rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ke atas Datin Seri Rosmah Mansor mempersoalkan bagaimana anak guamnya dikenakan tiga tuduhan yang didakwa tidak berasas.

Bagaimanapun dalang di sebalik kesemua tuduhan itu, Datuk Rizal Mansor yang juga merupakan bekas pegawai khas Rosmah pula telah dilepaskan dan dibebaskan.

Hakikatnya, menurut pihak pembelaan, Rizal adalah individu yang telah melakukan kesemua kesalahan itu dan telah  memperjuangkan nama Rosmah dengan memberikan keterangan palsu untuk memerangkap dan mengaitkan tertuduh dengan tiga pertuduhan rasuah.

Itu antara hujah pembelaan mewakili Rosmah pada hari pertama prosiding bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Menurut Datuk Akberdin Abdul Kader, Rizal bertanggungjawab meminta dan juga menerima rasuah tanpa sebarang persetujuan mahu pun pengetahuan Rosmah.

“Ini adalah pendakwaan terpilih, berniat jahat dan mala fide terhadap anak guam kami (Rosmah) sedangkan Rizal Mansor yang juga saksi pendakwaan adalah dalang dalam kes ini.

“Tetapi tindakan pendakwaan menarik balik kesemua tuduhan terhadap Rizal dan memilihnya sebagai saksi jelas sekali pendakwaan sudah membuat perjanjian dengan Rizal,” katanya ketika membacakan kenyataan pembukaan bela diri Rosmah hari ini.

Jelas Akberdin, Rizal terpaksa bekerjasama dengan pihak pendakwaan dengan memberikan keterangan palsu atau terpaksa berhadapan dengan pendakwaan baharu terhadapnya.

“Hal ini menunjukkan pihak pendakwaan mempunyai niat jahat terhadap tertuduh, biar pun dakwaan terhadap Rosmah adalah tidak berasas.

“Adalah penting untuk kita nyatakan sebelum pendakwaan ini ke atas OKT (Orang Kena Tuduh) tidak wujud laporan daripada mana-mana pihak khususnya Saudi Abang Samsudin yang merupakan saksi ke-17 dan Rayyan Radzwill saksi pendakwaan ke-16 kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bahawa anak guam kami telah meminta atau menerima rasuah.

“Sebaliknya, pegawai khas kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Rizal yang sebelum ini telah didakwa bersama-sama OKT telah dilepas dan dibebaskan mahkamah dan hanya meneruskan pendakwaan terhadap OKT sahaja. Ironi sekali.

“OKT tidak kenali secara peribadi saksi ke-17 dan 16 ini sebaliknya telah diatur oleh Rizal, OKT juga tidak pernah menerima suapan RM1,500,000 daripada Saidi bagi membantu Jepak Holdings dapatkan projek solar hibrid secara rundingan terus.

“OKT juga tidak pernah minta RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi. OKT juga tidak pernah mempunyai pengetahuan Rizal telah menerima ratusan suapan sebanyak 10 peratus, 12 peratus dan atau 15 peratus di Lygon Care kononnya bagi pihak OKT.

“OKT juga juga nafikan telah arahkan Rizal bawa dua beg kononnya mengandungi RM5,000,000.00 kepada OKT di Seri Perdana, tidak pernah berlaku dan jelas Rizal telah ‘kebas’ wang tersebut,” hujahnya lagi.

Kata Akberdin lagi, kesemua minit mesyuarat Perdana Menteri bagi projek solar tersebut sebaliknya kedua-dua saksi telah mendapatkannya melalui Datuk Aazmey Talib.

“Adalah fakta yang tidak dapat disangkal bahawa kesemua 11 minit Perdana Menteri untuk projek solar itu telah diperoleh daripada Datuk Aazemy Talib dan pendakwaan tidak langsung memanggilnya sebagai saksi.

“OKT adalah bekas Wanita Pertama Negara dan hanya merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri tanpa sebarang kuasa eksekutif dalam kerajaan, dalam hal ini adalah satu dakwaan tidak munasabah serta tidak berasas dalam mengaitkan tertuduh,” tegasnya.

Kata pembelaan lagi, pertuduhan-pertuduhan terhadap OKT adalah tidak lain untuk menjadikan tertuduh sebagai ‘kambing hitam’ pihak-pihak lain yang tidak kompeten dalam pentadbiran kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia yang ketika itu bersekongkol dengan Jepak Holdings.

Hari ini adalah hari pertama pembelaan kes rasuah terhadap Rosmah yang melibatkan projek bernilai RM1.25 bilion yang bertujuan memberi manfaat kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor.

Wang itu didakwa sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings mendapat projek bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rosmah bela diri kes rasuah solar hibrid hari ini