Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi permohonan pembelaan diri kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri perbicaraan kes rasuah yang membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Isteri kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu kelihatan tenang dan sempat senyum kepada petugas media dan penyokongnya di mahkamah.

Rosmah diperintahkan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah ke atasnya.

Beliau tiba sekitar pukul 9.50 pagi dengan berbaju kurung merah sempat melambai serta bercakap dengan sekumpulan penyokongnya di lobi mahkamah.

Para penyokong dan media sudah menanti kehadiran beliau seawal jam 8 pagi lagi.

Semalam Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah sementara menunggu pelupusan rayuan beliau dalam kes sama. 

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said yang membuat keputusan itu sebulat suara dengan berpendapat prosiding di Mahkamah Tinggi perlu diteruskan. 

Susulan keputusan tersebut, Rosmah diarahkan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan Rosmah meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes itu dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Pada 11 Disember lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil seramai 23 saksi bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 5 Februari tahun lalu.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 Sept 2017.

Beliau juga berdepan pertuduhan menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama pada 20 Disember 2016 di Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Rosmah telah memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohohannya berhubung perkara itu.- MalaysiaGazette