Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen bercakap di sidang media Perikatan Nasional Melaka mengenai krisis politik ketika di MITC Hotel, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.

AYER KEROH – Perikatan Nasional (PN) Melaka berharap rakyat di negeri ini dapat memberi peluang dan sokongan terhadap gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, walaupun PN Melaka bersependapat dengan majoriti rakyat bahawa ketika ini bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya namun proses demokrasi harus dihormati.

“Bagi menghormati proses demokrasi, perlembagaan negeri Melaka dan keputusan yang telah dibuat oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, PN akan menyertai PRN yang tarikhnya akan ditentukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam masa terdekat.

“PN Melaka berharap agar rakyat Melaka dapat memberi peluang dan sokongan kepada PN pada PRN Melaka kali ini bagi meneruskan usaha-usaha dan langkah-langkah pemulihan negeri daripada pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media di Hotel MITC, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Ustaz Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka berkata, PN negeri kesal dan kecewa dengan krisis dan percaturan politik yang melanda ketika ini.

“Kita sedia maklum, proses pemulihan negara dan negeri Melaka sedang berjalan dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini yang dipimpin oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah mula menampakkan hasil dan tanda-tanda positif kepada negara dan negeri.

“Proses pemulihan negara dan negeri ini tidak harus terganggu disebabkan tindakan sesetengah pimpinan dan parti politik yang meletakkan kepentingan peribadi dan kuasa melebihi nyawa, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette