Abdul Aziz Abdul Majid menunjukkan barang rampasan yang berjaya ditumpaskan pihak polis dalam sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa pada sidang media di IPD Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2021.

KAJANG – Taktik sindiket dadah yang menggunakan perkhidmatan syarikat kurier di Singapura untuk mengedar dan menyeludup dadah bagi pasaran antarabangsa digempur polis.

Sindiket yang menjadikan negara-negara Eropah sebagai destinasi menghantar bungkusan dadah itu ditumpaskan dengan tertangkapnya empat individu disyaki ahli kumpulan berkenaan.

Timbalan Pengarah (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Abdul Aziz Abdul Majid berkata, kesemua suspek ditahan dalam enam serbuan yang dilancarkan antara 24 hingga 28 September lalu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.

Katanya, kesemua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia antara 21 hingga 71 tahun itu ditaha di kediaman.

Mereka ini dipercayai aktif terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar ibu negara dan Selangor.

“Hasil perkongsian maklumat dan kerjasama dengan pihak Central Narcotics Bureau (CNB) Singapura, kita percaya sindiket ini menggunakan modus operandi menyeludup dadah untuk pasaran antarabangsa menggunakan perkhidmatan syarikat kurier di Simgapura untuk menghantar bungkusan berisi dadah ke negara-negara Eropah melalui Singapura.

“Sebahagian taktik adalah menyorok serbuk dadah di dalam bingkai foto dan ditampal dengan pita pelekat disekelilingnya sebelum mengisytiharkan kandungan bungkusan kurier itu sebagai barang-barang yang sah.

Antara barang rampasan yang berjaya ditumpaskan pihak polis dalam sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa pada sidang media di IPD Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2021.

“Hasil serbuan, JSJN telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah dari gudang yang digunakan sindiket menyimpan dadah yang dianggarkan bernilai RM4.9 juta,” katanya dalam sidang media kejayaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pagi ini.

Turut bersama dalam sidang media berkenaan Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Tambah beliau, pecahan rampasan dadah oleh JSJN adalah dadah jenis Methaphetamine seberat 5.8 kilogram, ketamun 14.8 kilogram, cecair MDMA seberat 30.1 liter, MDMA dalam bentuk serbuk seberat 34.3 kilogram dan kafein seberat 2.2 kilogram.

Sindiket itu dipercayai aktif dalam pengedaran dan penyeludupan dadah ke pasaran antarabangsa sejak awal tahun 2021.

Ujar beliau, polis turut merampas beberapa peralatan memproses dan membungkus dadah dalam operasi sama di sebuah gudang di Kajang.

“Kami percaya ada juga pemprosesan dadah wujud daripada sindiket tetapi sebesar mana aktiviti pemprosesan itu kita akan menyiasat lebih lanjut.

“Saringan awal ujian air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka negatif sebarang dadah serta mereka bebas dari memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek direman selama 12 hari bermula 25 September lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.

“Seorang suspek lelaki telah dituduh di mahkamah manakala empat suspek perempuan pula akan disiasat dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan juga Seksyen 39B ADB 1952,” ujarnya.

Abdul Aziz Abdul Majid bercakap pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa di IPD Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2021.

Jelasnya, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (perlucuthakan Harta) 1988, dimana JSJN setakat ini menyita pelbagai aset milik sindiket itu bernilai RM676,926 dan tiga buah kereta bernilai RM250,000 iaitu sebuah Toyota Hulux, vellfire dan Honda City selain akaun bank milik sindiket yang mengandungi wang berjumlah RM426,926 turut dibekukan.

JSJN turut yakin saki baki sindiket berkenaan termasuk dalang utama masih bebas di luar dan polis sedang mengesan mereka. – MalaysiaGazette