P. Ramasamy

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy menyangkal dakwaan beliau menyeleweng wang membabitkan pembelian tablet kepada pelajar sekolah Tamil di negeri ini.

Penafian itu dibuat Pejabat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang menerusi satu kenyataan.

Kata kenyataan itu, Jawatankuasa Kecil Perolehan Sekolah Tamil Pulau Pinang telah membuat sebut harga terbuka dan enam syarikat menyertainya.

Jelasnya, dua daripada enam syarikat itu telah menawarkan harga RM425 seunit peranti dengan jaminan setahun.

“Hanya 470 peranti sahaja dapat dibeli memandangkan harga seunit RM425 susulan itu, RM12,500 lagi telah diperuntukkan dari dana kecemasan Sekolah Tamil Pulau Pinang menjadikan jumlah peruntukkan untuk pengedaran peranti pintar sebanyak RM212,500.

“Susulan itu, Jawatankuasa Kecil Perolehan Sekolah Tamil Pulau Pinang merujuk kedua-dua pembekal ini kepada 28 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Tamil dan bayarannya dibuat terus menerusi akaun PIBG sekolah.

“Ini sekali gus menunjukkan Kerajaan Negeri atau Jawatankuasa Sekolah Tamil tidak membayar terus kepada pembekal mana-mana peranti pintar seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

NGO dakwa pemimpin P. Pinang seleweng wang beli tablet untuk pelajar

Mengulas mengenai dakwaan bayaran ansuran dikenakan terhadap mereka yang menerima peranti itu, kenyataan tersebut menegaskan tablet tersebut diedarkan kepada pelajar daripada keluarga B40 secara pinjaman dengan syarat pelajar itu perlu hadir kelas online tanpa alasan.

“Malah, PIBG sudah terangkan pada akhir sesi persekolahan peranti itu akan diserahkan kepada pelajar tersebut dengan mengambil bayaran nominal RM1.

“Bayaran nominal RM1 itu akan diambil oleh PIBG masing-masing, supaya mereka dapat menyeleraskan akaun PIBG mereka

dengan melupuskan harta (peranti) yang diperolehi itu.

“Penerangan ini juga membuktikan dakwaan kononnya ibu bapa pelajar dikenakan bayaran RM500 ke RM600 untuk dapatkan peranti itu tidak masuk akal,” katanya.

Tambahnya, pihak pembekal juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan peranti itu adalah set klon.

“Tindakan yang wajar akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam tindakan terkutuk ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette