ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bercakap di sidang media khas susulan kenyataan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka di Hotel Casa Del Rio, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.

MELAKA – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diketuai ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron akan ke Istana Negara esok untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut salah seorang lagi daripada mereka iaitu ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, pertemuan itu akan turut di sertai 11 lagi ADUN Pakatan Harapan (PH).

“Esok kami akan menaiki bas ke Istana Negara dan cadangan ini sudah dipersetujui semua pihak.

“Cadangkan ini (menghadap) disuarakan Datuk Seri Idris Haron dan esok kami akan bertolak ke istana,” katanya dalam satu audio yang diterima MalaysiaGazette hari ini.

Norhizam, Idris dan dua lagi ADUN iaitu ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad sebelum ini bertindak menarik balik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ia mengakibatkan kerajaan negeri yang dibina di bawah Perikatan Nasional (PN) jatuh kerana kehilangan majoriti.

Dalam audio berdurasi empat minit itu, Norhizam berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan pembubaran DUN Melaka.

Ini kerana pada mereka, PH dan pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas sama ada daripada pejabat Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam mahu pun Istana Melaka.

“Pandangan kami pengisytiharan pembubaran DUN secara tergesa-gesa semalam bertentangan dengan apa yang diamalkan di pentadbiran pusat oleh Agong.

“Di peringkat pusat, sebelum membuat keputusan, baginda mendapatkan nasihat daripada semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hakim dan peguam negara serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum satu keputusan dibuat demi kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Norhizam menegaskan, situasi di Melaka juga tidak boleh disamakan dengan kerajaan Sarawak kerana negeri itu masih mempunyai kerajaan dan majoriti.

“Adalah tidak adil untuk lantik kerajaan yang sudah tumbang sebagai ‘care taker’ sementara menanti keputusan SPR melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pengisytiharan darurat untuk dilaksanakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette