KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan iklan tawaran pemberi pinjaman wang yang menawarkan skim ‘pinjaman KWSP’ yang tular di laman web dan media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Iklan-iklan yang menyasarkan pemilik akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan menggunakan nama Syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) berlesen atau Kredit Komuniti yang berdaftar di bawah KPKT.

Iklan-iklan tersebut menawarkan pinjaman dengan kadar faedah antara 5% hingga 7% sebulan yang jauh melebihi kadar faedah yang ditetapkan di dalam Akta Pemberi Pinjam Wang (1951) iaitu maksimum 1.5% sebulan atau 18% setahun bagi pinjaman individu serta maklumat pinjaman mencurigakan yang bertujuan untuk memperdaya orang ramai.

KPKT memandang serius akan penularan maklumat dan iklan ini yang dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan imej dan kredibiliti sektor Kredit Komuniti bahkan akan turut memberi implikasi negatif kepada orang ramai khususnya peminjam yang terjebak dengan aktiviti yang tidak bertanggungjawab ini.

Sehubungan itu, KPKT menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penawaran skim pinjaman yang seringkali mengaitkan Syarikat Kredit Komuniti yang berlesen di bawah KPKT.

Urusan dengan pihak Kredit Komuniti hanya boleh berlaku di dalam premis perniagaan yang berdaftar dan sah sahaja.

Di samping itu, orang ramai perlu sentiasa mendapatkan pengesahan maklumat daripada KPKT terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perjanjian dan tidak menandatangani sebarang perjanjian kosong.

KPKT juga menegaskan mana-mana Syarikat Kredit Komuniti berlesen yang didapati terlibat dengan pinjaman yang mengelirukan atau mengenakan kadar faedah yang tinggi boleh dikenakan tindakan tegas selaras dengan Seksyen 17A Akta 400 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebarang aduan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT iaitu aduan.kpkt.gov.my, aplikasi mudah alih i-KrediKom, Talian Hotline Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) di talian 03-8891 4694/4690 ataupun hadir di Kaunter Aduan KPKT di Aras 1, KPKT di Putrajaya. – MalaysiaGazette