Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2021.

SUBANG – Seorang lelaki tempatan telah dicekup orang awam ketika terlibat dalam perbuatan tidak senonoh dengan mengintai dan merakam di dalam tandas lelaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tentang tangkapan suspek berusia 37 tahun oleh orang awam di stesen minyak Shell Batu 3, Shah Alam pada jam 2.25 pagi 3 Oktober lalu.

“Bertindak atas maklumat, jam sekitar 2.45 pagi hari yang sama, pihak polis menangkap semula suspek yang dicekup orang awam itu.

“Suspek telah ditahan oleh orang awam yang hendak menggunakan tandas apabila didapati suspek dengan telefon bimbitnya sedang merakam pengguna yang menggunakan tandas bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan pada telefon bimbit suspek mendapati dia merakam orang awam yang sedang membuang air kecil di dalam tandas lelaki.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia serta tidak berkelakuan melampaui batasan.

“Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah amat dialu-alukan melalui nombor telefon 03-56210343 (Pusat Kawalan Subang Jaya) untuk tindakan lanjut dan identiti pemberi maklumat akan di rahsiakan,” katanya. – MalaysiaGazette