PRN Melaka State Election flag
Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

MASIH ingatkan kita kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka? Yang utamanya, pentadbiran Melaka menjadi semakin lemah disebabkan tiada pemimpin yang berwibawa. Itulah punca yang perlu disedari dalam apa jua keadaan kepimpinan.

Wibawa yang hilang, maka segalanya akan menjadi penghalang. Tidak terkecuali, amalan rasuah, fitnah memfitnah berlaku secara berleluasa. Sistem cukai yang tidak dilaksanakan serta kadar cukai yang tinggi menjadi penyebab pedagang memilih pelabuhan lain seperti Acheh dan Patani untuk berniaga berikutan cukainya yang lebih rendah.

Antara lainnya, pengkhianatan. Begitulah gambaran utama yang dapat disaksikan mengenai kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, segalanya bermula daripada faktor dalaman.

Hayatilah pantun ini;
“Jika roboh kota Melaka,
Papan di Jawa kami dirikan,
Jika sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa jadi taruhan.”

Namun, sejauh mana generasi kini sedia maklum dan mengambil iktibar dengan apa yang telah terjadi?

Berikutan dengan apa yang terjadi ini, pelbagai luahan netizen di media sosial.

“Punca segala ‘kebabian’ politik Malaysia hari ini adalah Langkah Sheraton. Inilah antara para pemukanya.” kata Jamzuri Ardani dengan disertakan foto enam orang yang menerajuinya.

Manakala menerusi status Facebook Mahani OB pula beliau berkata, memanglah mereka tidak ada masalah dengan YAB Ketua Menteri. “Tapi yang dia orang tak puas hati tu sebab ada DUA SINGA di atas SATU GUNUNG. Aisshhhh…takkan tu pun tak faham Tuan Speaker”. Tambahnya lagi, ia berkaitan kisah gunung di negeri Melaka.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, hal itu diakui sendiri oleh ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron apabila dalam kenyataannya mengatakan tidak boleh ada dua singa atas satu bukit.

UMNO pentingkan diri? “Jatuhnya kerajaan Melaka, bukti jelas pemimpin UMNO memang pentingkan tembolok masing-masing daripada masalah rakyat,” kata pemilik akaun Facebook Abdullah Ripen.

Dalam perkembangan berkaitan ahli lama UMNO, Datuk Zaharin menyokong tindakan empat ADUN Melaka. “Isu agihan pasir yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Melaka,” jelas beliau.N

Menurutnya, walaupun beliau seorang ahli UMNO, beliau menyokong tindakan wakil rakyat itu. “Tindakan mereka adalah betul. Dan ini, mesti dilakukan oleh semua wakil rakyat, yang pro kepada UMNO, bagi menjatuhkan mana-mana kerajaan walaupun menteri besarnya daripada UMNO. Kerana pemimpin-pemimpin UMNO ini menjaga tembolok, mencari kekayaan mereka”.

Tambahnya lagi dalam video yang berdurasi 8 minit 35 saat itu, UMNO tidak pernah memikirkan masa depan orang Melayu, Islam, memikirkan pembangunan luar bandar, atau kepentingan ekonomi orang Melayu.

Terdahulu, Idris yang juga mantan Ketua Menteri Melaka Idris mewakili keempat-empat ADUN itu berkata, mereka telah menghantar surat menarik sokongan itu kepada pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Idris berkata, penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang ‘flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Isu yang berlaku sepatutnya diselesaikan oleh kepimpinan parti melalui rundingan, pujukan atau tindakan disiplin. Namun yang berlaku ini menunjukkan krisis dalaman UMNO yang akhirnya membawa kepada pertukaran.

PRN Melaka tidak harus dilakukan

Menerusi hantaran Facebook Ubaidillah Harith Shahrin, beliau mengemukakan kenapa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh dilakukan waktu sekarang.

1. Tarikh PRU15 sudah dekat, kurang dari dua tahun.
2. Pembaziran wang rakyat pada waktu pandemik ini. PRN pastinya akan menelan belanja yang besar, yang mana ia lebih baik digunakan untuk bantu rakyat.
3. PRN tidak sesuai disebabkan usaha lawan Covid-19 belum berjaya sepenuhnya. Jika berlaku juga PRN, dikhuatiri kes Covid-19 akan melonjak naik dengan adanya kempen dan proses membuang undi nanti.
4. PH Melaka ialah pihak yang menang pada PRU14. Jadi, mereka memang berhak mentadbir negeri Melaka. Mereka pilihan rakyat.
5. Jika PRN dilaksanakan, ia kelebihan buat PH sebab UMNO, PPBM dan Pas pastinya akan berebut kerusi yang sama. Sedangkan PH solid, mereka punya lapan kerusi daripada DAP yang pastinya tiada tandingan.

PH perlukan lagi tujuh kerusi sahaja untuk menang dan menjadi kerajaan Melaka, sedangkan pihak lawan memerlukan 15 kerusi untuk menang. Dengan pertembungan UMNO, PPBM dan Pas pastinya bukan mudah buat mereka.

Persoalan dan jawapan

Suka penulis memetik persoalan Mohd Azlan menerusi status Facebooknya: “Sampai bila politik Malaysia ni nak stabil?,”. Dan jawapannya ialah, “Insya-Allah akan stabil bila yang ‘ahlinya’ yang mentadbir. Kita?”

Terus doakan dan usaha agar Allah segera hadirkan pemimpin yang sebenar-benarnya dapat memimpin mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Atriza Umar