Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto SYFAIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2021.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam tidak diberi nasihat yang betul sebelum membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menumbangkan kerajaan negeri melalui penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri dilakukan tanpa mengikuti proses yang sepatutnya.

“Tentu kita tidak setuju cara yang dibuat tidak ikut proses dan TYT tidak diberi nasihat yang betul,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, mesyuarat PH yang dipengerusikannya sebentar tadi membincangkan isu negara termasuklah pergolakan yang berlaku di Melaka.

Selain itu, beliau menyuarakan pendirian bahawa PH akan turut bertanding sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.

“Kalau ada PRN, kita lawanlah. Tapi saya sebut tadi proses,” katanya lagi.

Anwar turut memaklumkan PH akan mengeluarkan kenyataan mengenainya tidak lama lagi.

Selain Anwar, antara yang hadir ke mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang sejam itu adalah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain itu turut hadir dua lagi pemimpin mewakili Amanah iaitu Datuk Seri Dzulkefli Ahmad dan Hatta Ramli.

Semalam, Yang di-Pertua Negeri Melaka membuat keputusan  membubarkan DUN Melaka, selepas Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali telah mengutus surat kepadanya.

Surat tersebut memaklumkan bahawa empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah hilang kepercayaan terhadapnya.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).- MalaysiaGazette