Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO hanya menerima ahli dan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang benar-benar ikhlas serta jujur kembali ke pangkuan partinya.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO sangat berhati-hati dalam menerima sebarang permohonan pimpinan Bersatu walau berlapang dada dalam perkara berkenaan.

“Ahli UMNO usah bimbang. Seperti biasa setiap permohonan diteliti terlebih dahulu dan setiap sudut diperhalusi termasuk kemungkinan ia suatu `liabiliti atau aset’ kepada UMNO,” katanya yang dipetik di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa pemimpin UMNO hanya ingin menarik perhatian lebih ramai ahli untuk bersama mereka.

“Setiausaha Agung Bersatu kelihatan sangat kurang senang dengan perkembangan itu jangan terlalu khuatir dan risau.

“Sebilangan ahli dan pimpinan Bersatu merisik peluang kembali kepada UMNO bukan propaganda politik tetapi UMNO akan terima yang jujur sahaja,” tulisnya lagi.

Jelas Ahmad Zahid, UMNO tahu yang mana intan dan yang mana kaca, mana jujur dan mana beragenda songsang mahu kembali ke pangkuan parti.

“Presiden UMNO sama seperti anda tidak pernah melupakan bagaimana sebahagian mereka meninggalkan perjuangan UMNO untuk bersama Bersatu,” katanya.

Tambah beliau, ada ahli UMNO yang selepas meninggalkan parti itu bermuafakat dengan Pakatan Harapan dan DAP melancarkan fitnah demi fitnah terhadap parti serta pimpinannya.

“Terlalu rakus mahu merebut kuasa sehingga tiada lagi halal dan haram’ dalam tutur kata serta perbuatan mahupun kaedah.

“Ramai berpendapat terdapat beberapa faktor mengapa ahli dan pemimpin Bersatu ini meninggalkan UMNO sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pertama berkait kenaifan apabila turut terpedaya dengan dakyah dan tohmahan Bersatu ke atas UMNO serta pimpinannya.

“Kedua membabitkan jiwa kecil ekoran takut berdepan serangan maha zalim kerajaan baharu sejurus UMNO tewas dalam PRU-14.

“Ketiga mementingkan diri demi mengekalkan keselesaan dan kesenangan hidup seperti yang kita sedang saksikan ketika ini,” katanya lagi.

Pada 3 Oktober lalu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook mengakui ada ahli Bersatu merisik untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Susulan itu, Hamzah berkata, perkara itu sekadar propaganda untuk menarik perhatian umum sedangkan Bersatu kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia apabila jumlah keahlian Bersatu kini meningkat melebihi 500,000 berbanding 300,000 pada tahun lalu.- MalaysiaGazette